YAN - Seramai 80 penggiat industri pelancongan dari seluruh negara yang terdiri daripada 40 syarikat Travel Agents dari seluruh negara hadir ke daerah ini, semalam.

Ketua Unit Pelancongan Majlis Daerah Yan Abdul Razak Majid berkata, program ini adalah anjuran Majlis Daerah Yan bersama Malaysian Inbound Tourism Association (MITA).

Katanya, mereka adalah penggiat yang aktif dalam pasaran antarabangsa khususnya negara Asian, China dan Timur Tengah.

“Program ini memerlukan delegasi yang hadir bertukar pendapat dan cadangan bagaimana daerah dan negeri ini boleh ditambah baik sebagai destinasi pelancongan di bawah Jerai Geopark,” katanya.

Menurut Abdul Razak, program ini adalah selari dengan usaha untuk memastikan daerah Yan setanding dengan destinasi yang popular di negara serantau.  

“Mereka juga dibawa melawat Pantai Murni Waterfront, Ladang Nipah Ismail Che Kar, Sedaka dan Batas Ubi Deer Farm,” katanya.

Hadir dalam program tersebut, Setiausaha Majlis Daerah Yan mewakili Pegawai Daerah Yan, Hafiz Hasri Kharudin dan Presiden MITA, Uzaidi Udanis.