ALOR SETAR - Penduduk di sepanjang Kota Kuala Muda dekat Sungai Petani diminta berwaspada mengenai kemungkinan berlakunya air pasang besar sebanyak dua kali antara 9 dan 13 September  serta  dari 23 hingga 28 September ini.

Ketua Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, Kota Kuala Muda antara kawasan yang diramalkan terjejas dengan fenomena air pasang besar selain Selangor, Perak dan Pulau Pinang.     

“APM daerah juga menyediakan logistik pemindahan mangsa seperti lori dan khemah di pusat pemindahan serta memantau keadaan air laut di pesisir pantai Kota Kuala Muda terutama pada waktu tengah malam dan tengah hari kerana waktu puncak air pasang ketika itu,” katanya.        

 Saifuddin turut mengingatkan orang ramai yang melakukan aktiviti di tepi pantai agar lebih berhati-hati dan segera meninggalkan kawasan pantai sekiranya melihat air pasang luar biasa berlaku demi keselamatan mereka. - Bernama