ALOR SETAR - Ibu tunggal, Jamaliah Ali, 55, yang cedera parah akibat disembelih dengan parang oleh penyamun di rumahnya di Jalan Bukit, Teroi, Gurun di sini Selasa lalu kini mula sedar setelah menjalani pembedahan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Adik mangsa, Habsah Ali, 52, berkata, kakaknya mula sedar sejak semalam namun masih belum boleh bercakap seperti biasa.

“Semalam waktu dia (Jamaliah) mula membuka mata, dia boleh memberi tindak balas bila saya panggil namanya.

“Dia akan angkat tangan setiap kali namanya dipanggil. Selain itu balutan di lehernya juga dibuka oleh doktor dan dia dalam keadaan yang stabil,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sinar Harian pada Rabu lalu, melaporkan dalam kejadian jam 7.10 pagi itu, Jamaliah tinggal seorang diri di rumah kerana Habsah menghantar anak bongsunya ke sekolah dengan menaiki basikal.

Kejadian menimpa Jamaliah hanya disedari kira-kira 10 minit kemudian oleh ibu saudaranya, Rohani Omar, 54, apabila mangsa menggoncang jeriji pintu depan rumah Rohani yang terletak 30 meter dari rumah mangsa.

Sebaik ternampak Jamaliah di depan pintu, Rohani terkejut mendapati leher, kepala dan muka Jamaliah berlumuran darah manakala mata dan dagunya pula lebam.

Menurutnya, dia berdoa supaya penjenayah kejam itu dapat segera ditangkap.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu berkata, polis masih berusaha mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar segera tampil membantu polis.

“Sesiapa yang ternampak kejadian berkenaan, saya minta mereka ke balai polis berhampiran untuk memberi maklumat kepada pihak polis,” katanya.