BALING - Lebih 110 ahli Umno dari cawangan Charok Sikin dan Tebing Tinggi mengumumkan keluar parti untuk bersama Bersatu.

Ketua Armada Baling, Abd Ghafar Shuib berkata, tindakan itu memberi isyarat Umno Baling bakal tumbang pada PRU14.

“Dua cawangan ini adalah kubu kuat Umno. Kali ini mereka yang dahulunya orang kuat Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim bertindak isytihar keluar Umno dan bersama Bersatu,” katanya ketika ditemui selepas program perasmian Bersatu di cawangan Charok Sikin, semalam.

Menurutnya, ada dalam kalangan bekas ahli Umno itu terdiri daripada ahli JKKK.

“Beberapa individu yang isytihar keluar Umno itu terdiri daripada bekas ahli JKKK. Borang Bersatu juga telah diisi.

"Selain itu, seramai 20 ahli Pas turut umum keluar parti untuk bersama Bersatu hari ini (semalam),” katanya.

Tambah Abd Ghafar, situasi terkini itu memberi gambaran bahawa rakyat terdesak mahukan urus tadbir negara yang lebih telus.

“Jumlah terbaru ahli Bersatu di Baling mencecah lebih 6,000 ahli.

"Majoriti golongan muda memilih Bersatu kerana terpedaya dengan janji Umno sebelum PRU13. Umno janji nak bina universiti, hospital, termasuk kilang. Kebanyakan golongan muda memberi sokongan kerana percaya dengan semua janji itu.

“Tetapi hari ini semua itu tidak terbina. Anak muda hari ini terpaksa bangun seawal 4 pagi untuk bekerja kilang di Seberang Perai, Pulau Pinang dan pulang lewat malam,” katanya.

Bekas ahli Umno, Mohd Shukri Husain berkata, dia tekad keluar Umno kerana sering diabaikan daripada pelbagai bantuan.

“Umur saya dah 46. Bukan nak kata bantuan lain, tapi sekampit beras dengan sekilogram daging pun Umno tak pernah bagi.

“Duduk Bersatu pun tak dapat bantuan, tapi lebih baik saya bersama Bersatu sebab parti ini memperjuangkan kebenaran,” katanya.

Menurutnya, dia disingkirkan daripada senarai nama khairat kematian di kampung berkenaan berikutan tindakannya keluar Umno.

“Empat tahun saya bayar duit khairat kematian, tapi sebab saya masuk Bersatu, nama saya dibuang,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - BEKAS kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus menolak Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan mahu perubahan pentadbiran dilakukan.
  • BATU KURAU - Tindakan 50 ahli yang didakwa daripada Bersatu Bahagian Larut keluar dari parti itu tidak menjejaskan muafakat dalam Harapan Parlimen Larut untuk terus menumbangkan BN.
  • SHAH ALAM - Bersatu Selangor bertegas mahu bertanding di 12 kerusi Dun yang dimenangi Umno pada PRU13 lalu meskipun ia mendapat bantahan daripada PKR.
  • PORT DICKSON - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Telok Kemang akan membuka lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dun Bagan Pinang dalam masa terdekat.
  • SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan menyifatkan dakwaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai langkah persempadanan semula merupakan salah satu taktik kotor Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya adalah tidak berasas.