YAN - Kecemerlangannya dari segi akademik dan kokurikulum berjaya mengangkat beliau menjadi seorang ikon pelajar di sekolahnya.

Sarah Muhamad Sufian, 18, berkata dia akan melakukan semua perkara dengan bersungguh-sungguh.

Katanya, jika mahukan kejayaan usaha yang kuat perlu dilakukan, jika tidak berhasil usahalah lebih kuat supaya akhirnya ia akan berhasil.

“Tiada istilah putus asa dalam kamus hidup saya dan saya sentiasa mencabar diri saya untuk menyertai apa jua pertandingan supaya boleh bergelar juara,” katanya.

Jelasnya, guru-guru di Sekolah Menengah Agama Fauzi banyak membantu dirinya untuk cemerlang di dalam pelajaran dan kokurikulum.

Anak sulung daripada empat adik beradik ini sentiasa bersemangat untuk berjaya bagi membolehkan dirinya menjadi contoh dalam keluarga.

“Umi saya seorang guru di sekolah agama rakyat, ayah pula seorang nelayan, jadi semangat saya untuk berjaya tu sangat kuat supaya saya boleh bantu mak ayah suatu hari nanti,” katanya.

Sarah berkata, ibunya sangat mementingkan aspek pendidikan agama sejak kecil sehingga dewasa.

“Apabila didikan ke arah agama itu mula ada dalam diri saya berasa sangat senang untuk terus berada di sekolah agama,” katanya.

Juara pertandingan hafazan

Selain daripada berjaya mendapat keputusan cemerlang di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sarah turut aktif menyertai beberapa pertandingan berkaitan hafazan.

“Saya sangat suka menghafal, apabila waktu rehat saya suka habiskan masa di surau dan perpustakaan untuk membaca al-Quran,” katanya.

Pada tahun 2014 Sarah mendapat tempat pertama dalam pertandingan hafazan peringkat zon. Manakala pada tahun 2015 beliau mendapat Tempat Kedua Hafazan sempena Karnival Pendidikan Islam Peringkat Daerah Yan.

2016 pula menyaksikan Sarah mendapat Tempat Ketiga Hafazan juga sempena Karnival Pendidikan Islam Peringkat Zon dan Daerah Yan.

Sarah mula mengorak langkah, berlatih secara bersungguh-sungguh dan akhirnya beliau mampu muncul juara dalam pertandingan hafazan sempena Karnival Pendidikan Islam Peringkat Daerah Yan dan mula menyertai hafazan bagi apa jua penganjuran.

Minatnya bukan sahaja dalam bidang hafazan namun turut meminati bidang kepimpinan.

Sarah tidak melepaskan peluang dengan menyertai apa jua kem kepimpinan yang dianjurkan oleh pihak sekolah.