GEOREGTOWN - Kerajaan Pulau Pinang mengambil inisiatif membentangkan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) negeri ini kepada semua Adun dan ahli parlimen.

Program yang julung kali diadakan itu turut dihadiri oleh semua wakil rakyat Pakatan Harapan, BN dan Pas untuk mendengar dengan lebih terperinci mengenai perancangan kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sesi taklimat seperti itu pernah diadakan pada 2016 melibatkan beberapa sesi dengan sasaran audiens yang berlainan.

“Selepas PRU14, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi taklimat sebegini sekali lagi terutama kepada semua Adun dan ahli parlimen.

“Pembangunan mapan sesebuah negeri bergantung kepada pelan perancangan yang sistematik dan realistik. Ia memberi impak besar kepada kadar pertumbuhan ekonomi, keupayaan hidup dan kelestarian.

“Pelan perancangan sedemikian bukan sahaja perlu lebih murah dan cepat, tetapi lebih penting agar pelan tersebut boleh dipercayai, mapan dan boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa taklimat kepada ahli parlimen dan Adun bagi pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang di Jen Hotel.

Menurutnya, kajian PIP itu telah mengambil masa selama 16 bulan untuk disiapkan sepenuhnya.

“Kajian ini merangkumi keseluruhan pulau dan Seberang Perai. Hasilnya ialah pendekatan seimbang yang menggabungkan pembinaan lebuh raya baru dan pembinaan sistem pengangkutan awam yang berintegrasi.

“Hasil daripada kajian PIP ini juga terbahagi kepada lima komponen utama iaitu pembinaan lebuh raya, sistem pengangkutan awam, kebolehsampaian, kajian pengangkutan air dan pembangunan institusi.

“Kajian ini telah diterima sepenuhnya oleh kerajaan negeri pada 25 Mac 2013 dan menjadi dokumen rasmi kerajaan negeri untuk dilaksanakan semua agensi serta jabatan terlibat,” katanya.

Beliau berkata, bermula 2013 lagi kerajaan negeri telah mula melaksanakan beberapa strategi dalam PIP.

“Ini termasuklah dengan melantik Zenith BUCG pada 6 Oktober 2013 bagi melaksanakan tiga projek lebuh raya dan satu pembinaan terowong dasar laut.

“Pada Mei 2014, kerajaan negeri bersetuju melaksanakan strategi pelaksanaan PIP menggunakan konsep rakan penyampai projek,” katanya.

Jelasnya, perkara itu membuktikan bahawa kerajaan negeri sangat komited untuk melaksanakan projek-projek yang memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang.

“Pada 14 Ogos 2015, secara rasminya kerajaan negeri mengumumkan pelantikan SRS Consortium sebagai rakan penyampai projek bagi pelaksanaan keseluruhan fasa satu strategi PIP.

“Fasa pertama pembinaan dianggarkan akan mengambil masa selama lapan tahun untuk disiapkan selepas semua kelulusan wajib daripada kerajaan persekutuan diperoleh.

“Ini termasuklah menyiapkan empat lebuh raya dan satu jajaran LRT dari Georgetown ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP),” katanya.