GEORGETOWN - Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang mencetuskan kontroversi sebelum ini akan dihidupkan semula bagi memberi perkhidmatan dan bantuan kepada rakyat di Pulau Pinang.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, berikutan itu beliau meminta Pengerusi PPS, Phee Boon Poh dan peguam pertubuhan itu, RSN Rayer membuat laporan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sementara menunggu keputusan dari Mahkamah Persekutuan, laporan itu akan diserahkan kepada Dr Mahathir dan Muhyiddin untuk diluluskan dalam masa terdekat ini.

“PPS bukan sahaja ditubuhkan untuk menambah baik keselamatan awam tetapi rakyat dapat merasakan selamat, disebabkan permainan politik BN, PPS diharamkan dan anggota kita ditahan. Kita lawan di mahkamah dan menang. Sekarang hanya tunggu keputusan Mahkamah Persekutuan,' katanya.

Menurutnya, laporan itu akan turut ditandatangani Ketua Menteri, Chow Kon Yeow itu sebelum dibawa ke Kabinet.

Sementara itu, Boon Poh berkata, kerajaan negeri menerima banyak permintaan dari rakyat supaya PPS dihidupkan semula bagi tujuan keselamatan di negeri ini.

Kes PPS kini berada di peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas mahkamah membenarkan kerajaan Pusat mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan PPS ditubuhkan kerajaan negeri ini secara sah.

Pada 3 Mac 2016, Mahkamah Rayuan Putrajaya memberi kebenaran kepada Kerajaan Pulau Pinang untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar perintah KDN yang mengisytiharkan PPS sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.