ALOR SETAR - Pencapaian 100 hari pentadbiran PH Kedah tidak boleh dianggap gagal hanya dengan merujuk kepada satu daripada 10 tawaran PRU14 yang didakwa gagal ditunaikan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, janji manifesto yang merujuk kepada mengurangkan penglibatan orang politik dalam sukan, khususnya Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) adalah untuk menyekat penglibatan tokoh politik yang langsung tiada pengetahuan dalam bola sepak, mahupun pengalaman.

Menurutnya, pihaknya akan berusaha agar golongan profesional bola sepak diberikan tanggungjawab menguruskan pasukan termasuk bahagian teknikal dan pengurusan.

“Kalau dibandingkan dengan kerajaan negeri terdahulu, orang politik yang langsung tiada kaitan dengan bola sepak dilantik dalam pengurusan pasukan sama ada peringkat belia dan induk, ini yang kita mahu elakkan,” katanya, pada sidang media, selepas Sidang Dun Kedah ditangguhkan.

Mukhriz yang juga Presiden KFA berkata, jawatan tertinggi KFA dipertandingkan dan berlaku proses demokrasi pada pemilihan jawatankuasa tertinggi, bukannya atas lantikan politik.

“Saya akui pemilihan saya selaku Presiden KFA agaknya atas kehendak Ahli-Ahli Gabungan KFA itu sendiri, tak ada nama lain dicalonkan walaupun saya bersedia bersaing, namun saya menang tanpa bertanding,” katanya.

Menurutnya, ketika proses pemilihan, ia dilakukan secara telus dengan turut menyenaraikan calon daripada parti pembangkang.

“Memang ada orang politik bertanding sebagai calon, namun jika calon parti kerajaan diarah tarik diri dan hanya ada calon parti pembangkang,  siapa agaknya kelak yang menguasai KFA, keadaan ini juga cuba dielakkan,” katanya.

Mukhriz berkata, pihaknya turut pastikan tokoh politik yang dipilih dalam KFA sememangnya layak dan memiliki rekod cemerlang dan turut menyumbang dalam kecemerlangan KFA sebelum ini.

Kebelakangan ini, timbul desas-desus kononnya PH Kedah gagal menunaikan janji manifesto 100 hari apabila Mukhriz, Exco Sukan dan beberapa orang politik terlibat dalam pengurusan tertinggi KFA, sehingga ada beranggapan pencapaian 100 hari kerajaan negeri tidak lagi menyamai 100 peratus.  

Mengulas mengenai sembilan lagi tawaran 100 hari, Mukhriz berkata, pihaknya akan membentangkan perincian setiap satu tawaran pada program Ekspo Suka Menanti, malam ini (Jumaat).

“Secara umumnya, saya berpuas hati dengan apa yang berjaya kami lakukan, kebanyakan ditunaikan sepenuhnya dan sebahagian sedang dilaksana. Terdapat juga janji yang perlu ditunai dalam tempoh sepenggal,” katanya.

Menurutnya, masalah bekalan air diberi keutamaan dan sebahagian besar penyelesaian jangka pendek berjaya dilakukan.

“Jangka pertengahan pula libatkan loji rawatan air dan masih perlu diperhalusi sama ada kritikal dan perlu diteruskan, manakala penyelesaian jangka panjang perlukan dana dan bantuan Pusat seperti proses migrasi sepenuhnya atau separa bawah PAAB, yang masih dibincangkan,” katanya.

Mukhriz berkata, beberapa pendekatan akan dinilai semula agar tidak membebankan kewangan negeri.

“Sebelum kami rangka manifesto, terdapat maklumat tidak dapat diakses, mungkin ada beberapa aspek kurang maklumat dan tak dapat ditunai 100 peratus, namun akan berusaha guna kaedah terbaik,” katanya.

Menurutnya, antara tawaran yang sudah dilaksana, termasuk khairat kematian, Tabung Pesakit Kronik, Mahkamah Bergerak myReCourt, serta Tabung Wanita.

“Masalah air paling sukar diselesaikan kerana libatkan dana besar selain prasarana sempurna, contohnya jika kadar air tidak berhasil (NRW) tinggi sehingga 48 peratus, kita harus tangani masalah ini terlebih dahulu elak pembaziran,” katanya.