SUNGAI PETANI- Selepas 11 ahli Pemuda Bersatu Jerai meluahkan kekecewaan terhadap kepimpinan parti itu minggu lalu, hari ini sembilan lagi ahli Pemuda Bersatu Merbok turut melakukan perkara sama.

Jurucakap, Mohd Adam Mohd Ali, 26, mendakwa, mereka mewakili suara kira-kira 100 orang yang enggan mendedahkan diri, tapi inginkan penjelasan berhubung dua isu penting iaitu melibatkan Pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, ahli kecewa apabila isu dibangkitkan oleh ahli Bersatu Jerai berhubung kekayaan luar biasa keluarga Tun tidak dijawab dengan jujur dan konsisten malah isu presiden membabitkan skandal isteri orang juga masih belum dijawab.

“Kami sarankan Presiden Bersatu menyaman pihak yang menuduhnya terlibat dalam hal yang mengakibatkan keruntuhan keluarga Nika Gee. Saman suaminya menamakan Presiden Bersatu antara punca beliau bercerai dengan isterinya,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media khas PPBM Pusat....(Tun/Tan Sri) 'Jangan Pecat Keahlian Kami Hanya Kerana Bertanya' di Kelab Cinta Sayang, sebentar tadi.

Menurut Mohd Adam, perkara berbangkit yang tiada penjelasan itu sedikit sebanyak mengganggu tugas ketika berkempen sewaktu pilihan raya kelak.

“Apa kami nak jawab jika pengundi tanya bagaimana anak Tun Mahathir boleh jadi antara orang terkaya di Malaysia?

“Betulkah Tan Sri Muhyiddin punca perceraian keluarga itu, nama Tan Sri disebut dalam mahkamah.

“Jawablah. Jaga parti baik-baik sebelum kritik parti lain. Jangan bagi orang kata kepada parti, serta masalah kepimpinan parti juga, wajib jujur dan tulus kepada ahli di bawah.

“Jangan kami diminta berkorban tenaga dan wang ringgit tapi kepimpinan atas bagai maharaja.

“Malam minta derma tapi siangnya naik jet ke sana sini,” dakwanya.

Beliau juga kesal apabila rakan Bersatu Jerai yang mengadakan sidang media sebelum ini dianggap pengkhianat serta diugut bakal dikenakan tindakan tatatertib.

“Parti sudah bermasalah dengan pihak RoS dan kami tidak mahu parti ini diharamkan seperti Umno diharamkan sewaktu Tun Mahathir menjadi presiden Umno dulu,” katanya.

Menurut Adam, semua mereka adalah ahli biasa Bersatu Merbok dan sudah berdaftar sebagai ahli kira-kira dua tahun lalu.