ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah mahu pihak pembangkang memainkan peranan bagi memastikan kerajaan negeri berada di landasan yang betul demi kepentingan rakyat Kedah.

Baginda bertitah, semua pihak perlulah melupakan perselisihan semasa proses pilihan raya umum lalu dan kembali bersatu bawah bendera negeri Kedah.

“Beta ingin melihat proses semak dan seimbang berfungsi bagi menjaga kepentingan rakyat, wakil rakyat hendaklah berbincang dengan berhemah, berbudi bahasa dan jujur. Berpeganglah pada pepatah lama, ‘Yang menang tidak dapat semua, yang kalah tidak hilang semua’,” titah baginda pada Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Istana Anak Bukit, pagi tadi.

Turut berangkat, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Sultan Sallehuddin turut mengingatkan wakil rakyat supaya memikul amanah secara kolektif.

“Beta beranggapan setiap wakil rakyat mempunyai tanggung jawab yang sama. Pihak yang berjaya tubuhkan kerajaan hendaklah laksanakan tugas dengan amanah, ikhlas dan jujur,” titah baginda.

Baginda juga mahu wakil rakyat tidak bersikap mementingkan diri sendiri, sehingga kepentingan rakyat diabaikan.

“Layanlah rakyat penuh berhemah serta bijaksana. Buktikan rakyat telah membuat pilihan tepat, apabila memilih wakil rakyat yang mewakili  mereka untuk mentadbir negeri ini. Pikullah amanah dan tanggung jawab demi agama, bangsa dan negeri dengan penuh istiqamah,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin berharap semua wakil rakyat sentiasa berbincang secara beradab dan bersopan santun, demi menjaga imej dan nama baik baginda dan Kedah.  

“Jika terdapat perkara yang memerlukan rundingan, hendaklah dijalankan secara berhemah dan bijaksana. Beta tidak mahu lihat, wujud tindakan tidak sopan dan penggunaan kata-kata kesat ketika berbincang. Tunjukkan kematangan dalam semua urusan agar menjadi teladan kepada rakyat,” titah baginda.

Baginda turut menyarankan agar kerajaan negeri bergerak seiring dengan perubahan zaman, agar tidak ketinggalan dengan menggunakan pendekatan lebih inovatif.

“Amalan-amalan lama yang  tidak lagi sesuai, perlulah diganti dengan pendekatan inovatif dan mesra rakyat. Janganlah menjadi kerajaan yang hanya dibuai keseronokan sendiri, tanpa berpijak di bumi nyata,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin mahu kerajaan menyelami kehendak pelbagai lapisan rakyat agar tiada yang  terpinggir.

“Proses demokrasi adalah bagi mengembalikan kuasa rakyat. Proses pilihan raya hanyalah suatu mekanisme memilih wakil rakyat, ia hanyalah alat, bukan matlamat. Rakyat  telah nyatakan kehendak untuk dapatkan sebuah kerajaan yang baik, bagi memberi perkhidmatan terbaik. Keputusan ini hendaklah dihormati,” titah baginda.

Baginda berharap Kedah dipacu ke arah yang lebih baik, maju dan berdaya saing, sama ada peringkat nasional mahupun global.

“Beta ingin berpesan, wakil rakyat hendaklah beri tumpuan untuk berkhidmat kepada rakyat sepenuhnya, jawatan ini bukan satu keistimewaan, ia tanggung jawab yang harus dipikul dengan rasa syukur, ikhlas, berintegriti dan amanah,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin turut mengingatkan, agar pengurusan kewangan negeri diurus dengan penuh    integriti dan akauntabiliti.

“Kedah mampu capai kemajuan lebih membanggakan. Negeri ini mempunyai pelbagai kekayaan hasil bumi yang boleh diterokai bagi menjana pendapatan. Namun, ia hendaklah dijalankan secara lestari tanpa merosakkan alam sekitar,” titah baginda.

Baginda berharap, selain usaha menjana pendapatan, setiap wang dibelanjakan mampu memberi faedah maksima kepada rakyat.

“Aktiviti yang hendak dilaksanakan, hendaklah dirancang dengan teliti agar manfaatnya dinikmati rakyat. Berbelanjalah dengan  berhemah. Ingatlah sebahagian daripada hasil kerajaan adalah sumbangan rakyat melalui cukai,” titah baginda.  

Sultan Sallehuddin percaya jalinan hubungan yang baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan, merupakan strategi berkesan bagi mendapatkan sumber peruntukan, terutama bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan.

“Beta harap kerajaan negeri berusaha menjalin kerjasama baik dengan kerajaan Persekutuan, melalui pelbagai cara bersesuaian,” titah baginda.