SUNGAI PETANI – Kegembiraan pulang ke kampung halaman menyambut hari raya akhirnya muram buat seorang pelajar apabila terkandas kerana tidak mampu membeli tiket penerbangan semula biarpun kelas pengajian telah bermula.

Pelajar terbabit dikenali sebagai Mohd Ridzuan, 16, dari Kampung Sungai Daling, Sabah mengikuti pengajian di Madrasah Darul Muttaqin, Batu Lintang, Sungai Petani selepas diuruskan seorang pendakwah bebas, Khobil Harun.

Kisah terbabit bagaimanapun tular di laman sosial facebook dan berjaya meraih simpati banyak pihak apabila ramai pelayar berkongsi kisah berkenaan.

Menurut Khobil, semasa dia menziarahi keluarga berkenaan, Mohd Ridzuan masih belum pulang ke pondok pengajiannya dengan alasan tidak mempunyai wang untuk membeli tiket penerbangan.

“Saya ziarah ke rumahnya dan dia beritahu saya tiada wang nak beli tiket,” katanya.

Menurut Khobil, Mohd Ridzuan merupakan anak sulung dari enam beradik tinggal bersama ibu mereka, Normala Ototoh, 32, di kampung berkenaan dalam keadaan serba kekurangan.

“Dia anak yang baik, bila sudah tak bersekolah, ada yang syorkan dia belajar pondok, dengan ditaja pihak tertentu melalui sumbangan dan dihantar ke sekolah pondok di Kedah.

“Masa raya baru ni, dia balik ke Sabah untuk jumpa ibu dan adik-adik yang lain menyambut hari raya.

“Sepatutnya kelas pondok dah mula dah sekarang tapi memandangkan dia tak beli tiket balik lagi, jadi tangguh dululah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya kini sedang mengumpul sumbangan bagi meringankan beban keluarga itu dan bercadang menghantar Mohd Ridzuan pulang ke semenanjung penghujung Julai atau awal Ogos nanti.

“Buat sementara waktu, dia memanfaatkan masa yang ada dengan mengajar al-Quran kepada 14 kanak-kanak di sekitar kampungnya,” katanya.

Pagi tadi, Khobil sekali lagi ke rumah Mohd Ridzuan untuk melihat perkembangannya namun hampa apabila kesemua mereka tiada di rumah.