SIK- Pas Kedah menawarkan konsep kerajaan perpaduan kepada Pakatan Harapan ( Harapan) Kedah demi kebaikan rakyat.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia berikutan Kedah masih belum dapat membentuk Exco Kerajaan Negeri walaupun Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah mengangkat sumpah selaku Menteri Besar pada 11 Mei lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri hanya dengan 18 kerusi bakal berdepan pelbagai masalah antaranya ketika perbentangan bajet dan pelantikan Speaker.

"Pas Kedah tawar kerajaan perpaduan tanpa pembangkang di negeri ini, sama dengan konsep diutarakan Presiden Pas sejak 2006.

"Jika dapat dilaksanakan, ia akan menghasilkan banyak kebaikan kepada rakyat dan negeri ini" katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, Mukhriz juga dituntut membuktikan bahawa beliau mendapat sokongan ahli dewan untuk mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-13.

Katanya, beliau difahamkan, tiada seorang pun daripada pembangkang yang memiliki 18 kerusi menyatakan sokongan kepada pemimpin berkenaan.

"Pas Kedah mempunyai 15 kerusi, BN tiga kerusi menjadikan 18 kerusi. Bersatu pula ada lima kerusi, PKR tujuh kerusi, Amanah empat kerusi dan DAP dua kerusi.

"Rakyat maklum mereka ada empat parti dan Menteri Besar daripada Bersatu. Jadi Mukhriz perlu buktikan kepada rakyat Kedah bila beliau dapat sokongan majoriti ahli dewan?" katanya.

Muhammad Sanusi berkata, beliau ada menghubungi Mukhriz dan seorang lagi pemimpin Harapan Kedah bagi menawarkan kerajaan perpaduan.

"Saya hubungi Mukhriz dan seorang lagi pemimpin Harapan Kedah selepas pengumuman PRU14 supaya isu pembangkang dan kerajaan sama banyak kerusi  dapat diatasi.

"Waktu itu Mukhriz secara peribadi menjawab perkara itu boleh dibincangkan. Beliau minta saya bincang dengan Pas dan beliau akan berbincang dengan Harapan," katanya.

Namun katanya, Harapan masih belum memberikan jawapan hingga hari ini.

"Pada dasarnya Pas setuju teroka apa-apa sahaja pendekatan politik selepas PRU14 untuk kebaikan rakyat. Tapi sampai sekarang Mukhriz tidak memberikan respon.

"Saya fikir beliau ada masalah dengan Harapan untuk terima konsep kerajaan perpaduan, mungkin tidak mahu kongsi kuasa, atau tidak faham konsep kerajaan perpaduan atau sudah selesa dengan kemenangan di peringkat persekutuan," katanya.