ALOR SETAR - Dakwaan pembangkang mengenai negara akan bankrap bila BN melaksanakan manifesto yang dibentangkan baru-baru ini adalah tidak wajar.

Pengerusi Biro Penerangan BN Kedah, Datuk Othman Abdul berkata, semua bajet yang dibentangkan dalam manifesto BN akan merujuk terlebih dahulu kepada beberapa agensi seperti Bank Negara, Unit Perancang Ekonomi dan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) .

Katanya, semua keputusan yang dibuat bukan hanya dari arahan Perdana Menteri tetapi dibuat secara profesional oleh pihak berkenaan supaya selaras dengan pendapatan negara hari ini.

“Perkiraan dana dan pendapatan kerajaan perlu diambil kira terlebih dahulu untuk belanjawan manifesto nanti. BN tidak pernah membentangkan manifesto yang boleh menjejaskan pendapatan negara.

“Perdana Menteri lebih mengetahui kesan dari belanjawan yang melebihi hingga boleh menjejaskan ekonomi. Oleh itu dakwaan negara akan bankrap oleh pembangkang kerana manifesto BN adalah berniat jahat,” katanya semasa Ceramah Rakyat BN Menolak Pakatan Hipokrasi di Taman Derga Jaya, Derga di sini, semalam.

Menurutnya, rakyat yang menukar kepimpinan secara revolusi di negara luar sudah banyak memberi kesan kepada mereka sendiri, malah terpaksa berhijrah ke negara lain.

Katanya, rakyat perlu mengambil iktibar dari saudara seagama seperti di luar negara selepas berlakunya perubahan kepimpinan hingga negara itu hancur segalanya.

“Hari ini kita boleh lihat ekonomi dan politik di negara seperti Mesir, Libya dan Iraq semua aktivitinya lumpuh kerana kegagalan pemerintahan sekarang dalam mentadbir urus negara.

“Oleh itu saya berharap rakyat hari ini terutamanya pengundi akan menolak pembangkang pada PRU14 nanti. Rakyat hari ini perlu memikirkan masa depan negara bagi mencapai ke arah negara maju,” katanya.

Menurut Othman, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan oleh kerajaan merupakan cukai terbaik di dunia pada hari ini.

Katanya, kini semakin banyak negara maju menggunakan GST dalam membawa negara mereka ke arah ekonomi yang cemerlang.

“Ini terbukti Kanada, Australia serta Arab Saudi turut melaksanakan GST untuk memajukan negara mereka,” katanya.