GEORGETOWN - Ketua Pembangkang Dun, Muhamad Yusoff Mohd Noor dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) Pulau Pinang yang baharu.

Usul itu dicadangkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan disokong Dr Afif Bahardin (PKR- Seberang Jaya).

Jawatankuasa itu melibatkan seramai 10 wakil rakyat termasuk seorang Adun tunggal Pas, Mohd Yusni Mat Piah.

Mereka yang dilantik sebagai ahli jawatankuasa PAC adalah Lee Chun Kit (Pulau Tikus), Syerleena Abdul Rashid (Seri Delima), M Satees (Bagan Dalam) dan Lee Khai Loon (Machang Bubuk).

Selebihnya adalah Dr Norlela Ariffin (Penanti), Gooi Hsiao Leung (Bukit Tengah), Muhammad Faiz Fadzil (Permatang Pasir) dan Zolkifli Md Lazim (Telok Bahang).

Speaker Dun, Datuk Law Choo Kiang mengumumkan usul tersebut diluluskan setelah mendapat persetujuan sebulat suara semua Adun.

Beliau berkata, jawatankuasa itu diberi kuasa memanggil mana-mana orang hadir di hadapan dan mendapatkan dokumen.

"Jawatankuasa ini hendaklah melapor kepada Dewan Undangan Negeri dari masa ke semasa," katanya.