ALOR SETAR - Walaupun tewas  dalam PRU14 lalu, mantan calon Pas Derga tetap berjuang dan menabur bakti kepada masyarakat terutamanya bersempena Hari Raya Aidilfitri.

Mantan calon N11 Derga merangkap Setiausaha Masjid Derga, Yahya Saad berkata, beliau prihatin terhadap nasib penduduk memerlukan yang akan berhari raya tidak lama nanti.

Beliau yang juga Pengetua Maahaf Tahfiz Derga berkata, sehubungan itu, beliau sanggup mengeluarkan peruntukan sendiri demi membantu menyediakan sumbangan barangan keperluan asas kepada penduduk setempat.

"Alhamdulillah,kita memberi sumbangan barangan keperluan asas berupa ayam, beras pulut, gula dan susu kepada 300 penduduk dari Taman Nuri, Alor Melong dan Kampung Tanjung Seri Hujung pada tahun ini.

"Jikalau tahun lepas, saya beri sumbangan daging lembu atau pun kambing. Kali ini, sedikit berbeza apabila saya memberi sumbangan ayam,"katanya ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan di Kampung Tanjung Seri Hujung, di sini, sebentar tadi.

Katanya, dia akan memberi sumbangan kepada penduduk kurang berkemampuan sekitar Derga ketika musim perayaan sebegini demi membantu mereka.

Beliau juga berharap sumbangan sedemikian mampu meringankan beban, sekaligus menceriakan hati penerima untuk menyambut hari raya.

Jika tiada aral melintang, beliau berharap dapat terus berbakti dan memberi sumbangan kepada masyarakat ketika musim perayaan sedemikian.