KUALA NERANG - Pembentangan Belanjawan 2018 diumumkan oleh perdana menteri Jumaat lalu mengingatkan kembali janji kerajaan bagi membina Bandaraya Getah di daerah ini.

Rata-rata penduduk Padang Terap, di sini menunggu janji dibuat kerajaan pada Belanjawan 2016 lalu yang sehingga kini masih lagi belum ditepati.

Mahmud Hassan, 62, berkata, penduduk kecewa apabila janji kerajaan untuk menjadikan daerah Padang Terap di Bukit Ketapang sebagai Bandaraya Getah masih lagi belum terlaksana.

Menurutnya, selepas perdana menteri mengumumkan pada Bajet 2016 lalu, penduduk Padang Terap gembira tetapi kini seolah-olah hanya tinggal angan-angan sahaja.

"Sehingga kini, masih belum ada sebarang pembinaan dibuat di ladang Bukit Ketapang seluas 0.6 hektar yang dijanjikan untuk dijadikan Bandaraya Getah," katanya.

Mahmud berkata, difahamkan kerajaan pusat memperuntukkan RM320 juta bagi pembinaan itu.

Mahmud

"Penduduk mahu tahu sejauh mana pelaksanaan dilakukan tetapi kerajaan negeri hanya berdiam diri sahaja.

"Projek itu bakal jadi mercu tanda di sini dan kerajaan perlu beri penerangan kepada penduduk sejauh mana kejayaan dicapai sehingga hari ini," katanya.

Malah katanya, penduduk di Padang Terap juga berharap Belanjawan 2016 lalu bukan hanya sekadar gula-gula sahaja untuk memberi kegembiraan kepada mereka di situ.

Hashim Awang, 58, berkata, penduduk di Padang Terap sentiasa mengikuti perkembangan cadangan pembinaan Bandaraya Getah itu.

Menurutnya, selepas Belanjawan 2016 lalu, penduduk gembira apabila Perdana Menteri menyatakan khabar baik itu tetapi kini mereka kecewa apabila tidak ada sebarang pembangunan dilakukan.

"Penduduk harap ia akan jadi kenyataan kerana dapat meningkatkan pendapatan penoreh getah di situ.

"Ini mampu dilakukan apabila pelbagai industri huluan dan hiliran turut dirancang di kawasan perindustrian teknologi tinggi itu," katanya.

Tambahnya, Bandaraya Getah itu juga merupakan Akujanji BN pada PRU lalu dan jika kerajaan gagal melaksanakannya, sudah pasti akan memberi kesan nanti.

"Kami harap Belanjawan 2016 lalu bukanlah gula-gula untuk beri kegemberian kepada penduduk di sini," katanya.