ALOR SETAR - Persekutuan Penanam Padi dan Lembaga Kemajuan Penanam Padi Kedah mengorak langkah setapak lagi apabila mewujudkan Koperasi Persekutuan Penanam Padi Kedah (Kopadi).

Setiausaha Lembaga Kemajuan Penanam Padi Kedah (LKPPK) Nasrankamil Noh  berkata, kini sudah sampai masanya dua badan induk itu menubuhkan koperasi bagi meneruskan sumbangan kepada 64,000 ahlinya.

Katanya, koperasi itu ditubuhkan sesuai dengan keadaan semasa dalam menyumbangkan kebajikan kepada ahlinya di seluruh Kedah.

“Ramai ahli tertanya apakah yang boleh mereka perolehi lagi selain dari kebajikan seperti yang diterima sebelum ini. Kini melalui koperasi yang ditubuhkan ini mereka akan memperolehi sebanyak RM100 bagi setiap ahli.

“Usul bagi menubuhkan koperasi ini bermula sejak 2016 lagi dan selepas semua bersetuju akhirnya pada tahun ini ahli jawatankuasa kedua induk itu bersetuju menubuhkan Kopadi. Diharap Kopadi ini akan dapat memberi lebih lagi faedah kepada semua ahli,” katanya ketika ditemui di Majlis Aidilfitri di Bangunan Datuk Haji Ali Ismail semalam.

Menurut Nasrankamil, sehingga ini hanya 412 ahli yang mendaftar ahli Kopadi dari 219 cawangan di Kedah.

Oleh itu ahli kesatuan itu digalakkan menjadi ahli Kopadi supaya mereka akan mendapat faedah pada setiap tahun.

“Walaupun Kopadi ini ditubuhkan, tetapi segala kebajikan yang pernah disalurkan sebelum ini kepada ahli tetap ada. Dengan aset sebanyak RM4.5 juta, penubuhan Kopadi ini diharap akan memperkasakan lagi persekutuan penanam padi di Kedah yang ditubuhkan sejak sekian lama.  

“Ahli pengasas, ahli pengganti dan ahli seumur hidup adalah layak memohon bagi menjadi ahli,” katanya.