ALOR SETAR - Semua klinik pakar, klinik pesakit luar dan kes-kes pembedahan secara elektif (bukan kecemasan) di hospital di seluruh Kedah akan ditutup esok sempena cuti kelepasan am berikutan kemangkatan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata,  orang ramai yang mempunyai temu janji bagi pembedahan dan pemeriksaan hendaklah menghubungi pihak hospital bagi menetapkan tarikh temu janji baharu.

Beliau berkata, pihak hospital akan menghubungi ibu-ibu mengandung dan kanak-kanak yang telah ditetapkan temu janji untuk mendapatkan suntikan imunisasi apabila hospital itu dibuka semula seperti biasa pada Rabu.

“Bagaimanapun, perkhidmatan Jabatan Kecemasan dan Trauma di semua hospital akan beroperasi seperti biasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sultan Abdul Halim mangkat di Istana Anak Bukit dekat sini pada 2.30 petang tadi dan akan dimakamkan di Makam Diraja Langgar petang esok.

Dr Norhizan berkata, semua Klinik 1Malaysia akan beroperasi seperti biasa dari 10 pagi hingga 10 malam kecuali Klinik Kesihatan (KK) Bandar Alor Setar yang menyediakan perkhidmatan tempoh lanjutan dari 8 pagi hingga 1 tengah hari.

“Klinik-klinik desa di seluruh negeri ini juga ditutup kecuali perkhidmatan kecemasan tetap yang disediakan di Klinik Kesihatan, Klinik Desa atas dasar panggilan,” katanya.

Klinik-klinik Kesihatan di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Alor Setar dan Sungai Petani juga ditutup begitu juga dengan Klinik Kesihatan Pergigian dan Klinik Pergigian Pakar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Beliau berkata, sekiranya terdapat sebarang kecemasan pergigian, pesakit boleh mendapatkan rawatan di unit kecemasan hospital daerah yang berdekatan kerana perkhidmatan kecemasan pergigian atas panggilan beroperasi seperti biasa di semua hospital daerah. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENDANG - "Saya dah bosan dengar tentang pembinaan hospital Pendang," demikian kata Timbalan Pesuruhjaya Pas 1, Datuk Dr Mohd Hayati Othman ketika diminta mengulas berkaitan kelewatan pembinaan hospital Pendang yang pernah dijanjikan kerajaan.
  • PARIT BUNTAR - Pas kawasan Parit Buntar menubuhkan satu jawatankuasa bertindak khas bagi menyiasat punca kelewatan pembinaan Hospital Daerah Kerian yang dijanjikan kerajaan BN sejak dua PRU lalu.
  • IPOH - Perancangan penubuhan hospital khas bagi veteran oleh Kementerian Pertahanan tahun lalu merupakan pengiktirafan terbaharu kerajaan kepada bekas tentera yang berjasa kepada negara.
  • LANGKAWI - Status Hospital Langkawi bakal dinaiktaraf menjadi hospital kepakaran major dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya hari ini.
  • KOTA BHARU - Dua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tabah menjawab soalan Kertas 1 Bahasa Melayu di katil hospital biarpun masing-masing dalam keadaan sakit di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.