GEORGETOWN - Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR akan mengadakan satu mesyuarat bersama pengatur cara sistem e-undi esok, sebelum memuktamadkan keputusan pemilihan PKR 2018 bagi 13 cabang di Pulau Pinang.

Pengerusinya Datuk Rashid Din memaklumkan JPP akan meneliti beberapa perkara berhubung keputusan pemilihan yang diterima daripada pusat pengundian cabang di seluruh Pulau Pinang.

“JPP juga akan menganalisa masalah teknikal sistem e-undi, pengesahan pengundi ragu dan pengesahan jumlah undi dalam sistem sebelum pengumuman rasmi keputusan pemilihan diumumkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha JPP PKR Ismail Yusop mengumumkan keputusan rasmi pemilihan bagi 13 cabang di Pulau Pinang diterima dan tidak berubah.

Namun, keputusan itu dibantah dan kesemua 13 cabang di negeri itu meminta keputusan pengundian dibatalkan dan pemilihan diadakan semula selepas mendakwa pengundian dilakukan menggunakan sistem e-undi tidak telus dan dimanipulasikan pihak tertentu.

Mereka juga tidak berpuas hati dengan keputusan JPP yang membatalkan keputusan pemilihan di Kedah dan menerima sepenuhnya keputusan di Pulau Pinang sedangkan pemilihan dijalankan menggunakan sistem yang sama.

Pemilihan PKR bermula di Kedah dan Pulau Pinang semalam, melibatkan 105,056 anggota termasuk 55,132 anggota di Pulau Pinang, layak mengundi di 28 cabang bagi memilih barisan kepimpinan peringkat pusat dan cabang.

Pemilihan PKR kali ini mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya dilaksanakan menggunakan sistem e-undi serta mengguna pakai konsep ‘satu ahli satu undi'. - Bernama