PENDANG - Pengorbanan seorang suami menjaga isterinya yang terlantar akibat penyakit kencing manis membuktikan betapa tinggi nilai kasih sayangnya buat si isteri.

Yam Saad, 61, kini terlantar akibat menghidap penyakit kencing manis sejak 10 tahun lalu dan hanya mampu mengharapkan bantuan suaminya.

Menurut suaminya, Zakaria Ahmad, 61, kesemua keperluan Yam perlu dibantu kerana isterinya itu tidak mampu untuk bangun sendiri.

"Ini adalah tanggungjawab saya dan saya sentiasa reda dengan ketentuan ALLAH ini. Insya-ALLAH saya akan terus menjaga amanah ALLAH ini dengan sebaiknya," katanya ketika ditemui di Kampung Majapahit, Pendang, hari ini. 

Menurut Zakaria, pada mulanya isterinya hanya menghidap kencing manis dan masih lagi dalam keadaan terkawal, namun sejak tahun lalu dia mendapati isterinya tidak dapat berjalan dengan baik dan sehingga kini hanya mampu berbaring.

"Isteri saya mula tidak dapat bangun sejak setahun lalu dan memerlukan bantuan penuh daripada saya.

"Saya perlu membantunya untuk makan, mandi serta menukarkan lampin pakai buangnya," katanya.

Pasangan ini mempunyai empat orang anak dan kesemua mereka sudah berkahwin dan tinggal berasingan.

"Walaupun tinggal berasingan setiap kali cuti mereka akan pulang melihat isteri," katanya.

Walau bagaimanapun, menurut Zakaria pada hari kebiasaan dia tidak boleh meninggalkan isterinya seorang diri dan keadaan ini membuatnya agak sukar untuk bekerja.

"Saya hanya bekerja sebagai tukang rumah dan dibayar gaji harian. Ada ketika saya tidak dapat pergi bekerja kerana perlu menjaga isteri," katanya.

Zakaria berkata, setiap hari dia perlu menukarkan lampin pakai buang isterinya sebanyak tiga kali.

"Sebulan saya perlu memperuntukkan sebanyak RM150 hanya untuk lampin pakai buang sahaja.

"Demi cinta, saya gagahkan juga mencuri ruang untuk pergi bekerja bagi memastikan saya dapat memenuhi keperluan isteri.

"Kadangkala, sewaktu bekerja, saya cuba untuk pulang menyuapkan dia nasi serta bertanyakan keperluan lain.

"Alhamdulilah isteri boleh bercakap dan itu sudah cukup memadai buat saya bagi memastikan saya masih merasai kewujudannya," katanya.

Zakaria berkata, setiap bulan dia perlu membawa isterinya ke hospital, dan setiap kali itulah isterinya akan ditahan di wad bagi tujuan pemantauan.

"Setiap kali ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan, isteri saya akan ditahan di wad dan pernah dia berada di wad selama dua minggu," katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan kepada pasangan ini bolehlah menyumbang ke akaun Zakaria Ahmad 0211229875416299 Bank Simpanan Nasional.

 
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.