GEORGE TOWN - Orang ramai yang ingin dan sedang mencari pekerjaan dipelawa mengunjungi Karnival Pekerjaan Azam 1Malaysia anjuran Jabatan Tenaga Kerja (JTK) cawangan George Town di Penang Times Square, Sabtu ini.
 
Penolong Pengarah jabatan itu, Marina Ibrahim berkata 24 buah syarikat tempatan dijadual menyertai karnival yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, yang menawarkan 2,300 kekosongan jawatan dalam pelbagai bidang.
 
"Orang ramai boleh menghadiri temuduga terbuka mengikut bidang yang sesuai dengan kelulusan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Marina berkata jabatan itu turut menganjurkan program khas untuk 30 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang tersenarai di bawah program e-Kasih.
 
Di bawah program khas itu, mereka yang terlibat akan didedahkan kepada peluang perniagaan berasaskan kemahiran seperti menjahit dan mencetak baju yang dapat membantu meningkatkan taraf hidup golongan berkenaan.
 
"Kami menggalakkan orang kelainan upaya menghadiri karnival sehari itu bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang kerana terdapat beberapa syarikat yang berminat mengambil golongan berkenaan mengisi kekosongan jawatan dalam organisasi mereka," katanya.
 
Pengunjung berpeluang mendaftar secara talian dengan Jobs Malaysia, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan mengikuti klinik kerjaya yang turut diadakan pada hari itu. - Bernama