GEORGTOWN - Kerajaan Pulau Pinang meminta agar tidak dipersalahkan dalam dua kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah dan Bukit Kukus yang telah mengorbankan hampir 20 nyawa.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Jagdeep Singh Deo berkata, walaupun hujan lebat sebelum kedua-dua kejadian tanah runtuh itu berlaku, namun pihaknya tidak akan meletakkan cuaca sebagai punca kejadian tersebut.

Menurutnya, laporan siasatan terhadap dua kejadian itu belum diperolehi yang mana, projek [email protected] Permai di Tanjung Bungah sedang dalam proses hujahan.

“Kerajaan negeri tidak akan membenarkan sebarang projek yang tidak mematuhi peraturan ketat yang ditetapkan. Tetapi dalam masa sama, jangan tuduh kerajaan negeri sebagai penyebab kepada kejadian ini. Kejadian seperti ini bukan sahaja berlaku di Pulau Pinang, malah seluruh negara sejak dahulu lagi.

“Malah insiden Highland Tower pun, bukan kerajaan nak ia berlaku. Dalam kes Bukit Kukus ini, kerajaan negeri sudah menubuhkan jawatankuasa siasatan khas selain beberapa siasatan lain oleh agensi terlibat. Keputusan belum dapat, maka saya harap tiada mana-mana pihak dipersalahkan dalam isu ini,” katanya.

Jagdeep berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Adun Penaga (Pas), Mohd Yusni Mat Piah yang bertanya mengapa kejadian tanah runtuh masih berlaku sekiranya kedua-dua projek tersebut mengikut peraturan pembangunan di lereng bukit ditetapkan.

Jagdeep yang juga Adun Datuk Keramat (DAP) berkata, polis juga sudah memulakan siasatan jenayah terhadap kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus.

“Bagi insiden [email protected] di Tanjung Bungah, Suruhanjaya Siasatan Diraja telah diserahkan dan ia sedang dalam proses hujahan. Keputusan belum dibuat maka jangan buat kesimpulan tentang kedua-dua kejadian tadi,” katanya.