JITRA - Kira-kira 200 penduduk Kampung Manggol, Mukim Malau tidak berpuas hati dengan tindakan pemaju sebuah perumahan, di sini yang didakwa membina rumah sehingga ke jalan tar mini di kampung mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Manggol, Samsudin Hashim berkata, sebelum ini dia sudah merujuk kes berkenaan kepada Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) dan mereka bersetuju untuk memberikan tanah kosong seluas enam meter termasuk jalan tar mini yang sedia ada.

“Bagaimanapun, kerja-kerja pembinaan terus berjalan selepas itu dan parit yang ada di tepi jalan juga sudah ditimbus.

“Sebelum puasa dulu depa dah berhenti buat kerja pembinaan, tapi baru-baru ni, tengok dah naikkan tembok dan pasang pagar pula,” katanya, semalam.

Menurutnya, tindakan mereka itu menyebabkan jalan kampung berkenaan semakin sempit sehingga tiada ruang untuk kenderaan berselisih.

“Sebelum ini, kereta dengan kereta masih boleh selisih sebab ada bahu jalan. Tapi sekarang ini bila ada tembok, cuma sebuah kereta saja boleh lalu, itupun muat-muat saja.

“Kalau ada kebakaran atau kecemasan, jentera bomba pun tak boleh masuk, jalan ni terlalu sempit," katanya.

Katanya, dia berharap pemaju dapat bertimbang rasa agar dapat meninggalkan sedikit ruang kepada penduduk.

"Kalau tak cukup enam meter pun tak apa, asalkan tak terlalu sempit macam sekarang," katanya.

Ditutup untuk pembinaan banglo

Samsudin berkata, mereka juga difahamkan salah satu jalan utama untuk masuk ke kampung berkenaan akan ditutup untuk pembinaan rumah banglo.

“Kita risau akan berlaku kesesakan nanti, sebab penduduk ramai yang dah ada kereta, yang buat bendang pun ada lori dengan trektar, lagi susah depa nak buat kerja nanti,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Asrolnizam Saad, 35, berkata, parit yang ditimbus oleh pemaju itu memberi kesan kepada penduduk terutama pada musim hujan.

“Sebelum ini, air hujan mengalir masuk ke dalam parit, tapi malam tadi (semalam) hujan lebat dan bangun pagi tengok air hujan dah melimpah kat depan rumah saya,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, pagar dan tembok yang dibina menyebabkan lori tiga tan tidak boleh melalui jalan berkenaan.

“Dewan yang menyimpan perkakas pakatan untuk kenduri ada dalam kampung ini, jadi bila ada kenduri, lori akan mengangkut barang guna jalan ni.

“Tapi sekarang, lori nak lalu pun tak boleh sangkut cermin sisi," katanya.

Tambahnya, mereka juga ada mendengar ura-ura mengatakan pemaju mahu menutup jalan utama kampung.

"Kalau betul bertambah sesaklah nanti. Semua berebut nak guna satu jalan saja.

"Kami bukan nak halang pembangunan tapi biarlah dua-dua pihak dapat manfaat dan kebajikan penduduk yang dah berpuluh tahun tinggal dekat kampung ini terbela," katanya.

Seorang suri rumah, Zaidah Razak, 40, berkata, sejak tembok dan pagar dibina, dia takut untuk keluar masuk melalui jalan berkenaan.

“Risau takut terlanggar tembok tu, dulu kereta dengan motosikal boleh juga selisih, sekarang ni, kalau nampak motosikal salah seorang kena beri laluan dulu,” katanya.

Rozali Saad, 62, berkata, dia berharap pemaju dapat bertimbang rasa memandangkan isu ini berlarutan sejak awal tahun lagi.

“Jalan kampung ini dah hampir 40 tahun, kami pun dah lama tinggal kat kampung ini. Jadi harap sangat pemaju dapat pertimbangkan permohonan kami,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MDKP, Mohd Fisol Md Noh ketika dihubungi berkata, pihaknya akan membuat semakan dengan Pusat Setempat (OSC) untuk mendapatkan maklumat berkaitan isu terbabit.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GUAR CHEMPEDAK - Keadaan struktur jalan yang rosak di sekitar kawasan Guar Utama, di sini mengundang bahaya buat pengguna terutamanya pejalan kaki dan penunggang motosikal.
  • IPOH - Walaupun di hon beberapa kali dan diberi isyarat untuk memotong, namun pemandu tetap berdegil menghalang laluan.
  • POKOK SENA - Penduduk di Kampung Bukit Nyan, di sini, terpaksa menggunakan jalan berlopak dan rosak teruk sejak dua tahun lalu gara-gara tiada penyelenggaraan dilakukan pihak bertanggungjawab.
  • PONTIAN - Penduduk di Lorong Perwira Md Yusof dan Lorong Jambak di Kampung Melayu Bukit Panjang, Pekan Nanas di sini, melahirkan rasa kecewa berikutan jalan di kawasan itu rosak teruk akibat tidak pernah dibaiki sejak lebih 20 tahun lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.