GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan melaksanakan janji pertamanya iaitu mengehadkan jawatan ketua menteri kepada dua penggal seperti yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan (Harapan) dalam PRU14.

Pelaksanaan janji tersebut dijangka akan dibuat dalam tempoh tahun ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Pulau Pinang pertama, tadi.

Menurutnya, penasihat undang-undang negeri diarahkan untuk mengkaji dan meneliti bagaimana ia dapat meminda Perlembagaan Pulau Pinang bagi melaksanakan janji tersebut.

“Klausa itu perlu dimasukkan ke perlembagaan negeri agar menjadi undang-undang tertinggi Pulau Pinang bagi tujuan mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan ketua menteri.

“Butirannya akan diteliti apabila penasihat undang-undang negeri siap buat kajian tentang perkara itu. Exco akan berbincang apabila perkara itu siap diteliti,” katanya.