BUKIT MERTAJAM – Seorang guru didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, semalam, selepas mengaku bersalah atas tuduhan melakukan kecuaian hingga menyebabkan seorang kanak-kanak cedera diserang anjing peliharaannya.

Tertuduh, V Thinakaran, 49, dituduh melakukan kesalahan itu di kawasan perumahan Perda Timur, Bandar Perda, dekat sini, kira-kira jam 6.45 petang, 18 Mac lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa gagal mengawal dan menjaga dengan selamat seekor anjing yang berada dalam milikannya hingga menyebabkan anjing itu menyerang dan mencederakan Dhiya Qairina Muhammad Nur Akmal, 7.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, tertuduh merayu supaya mahkamah meringankan hukuman memandangkan dia merupakan seorang penjawat awam dan bapa kepada dua anak.

“Pada hari kejadian, saya mendengar ibu mertua menjerit memberitahu anjing terlepas. Saya cuba untuk menghalang anjing itu tetapi tidak sempat, lalu ia menggigit mangsa.

“Tujuan saya memelihara anjing adalah untuk menjaga keselamatan keluarga kerana kawasan rumah saya berhampiran dengan sawah. Saya juga mempunyai dua anak kecil. Saya
mohon maaf dan insaf dengan perbuatan itu dan memohon supaya mahkamah dapat mempertimbangkan rayuan­ saya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa raya, J G Kaameni Jaya Raman dalam pendakwaannya meminta supaya mahkamah mengenakan hukuman maksimum terhadap tertuduh di atas
kesalahan yang dilakukan.

Ia kerana pihaknya percaya mangsa mengalami trauma teruk dan mengambil masa yang lama untuk pulih.

Selepas meneliti hujah dan rayuan tertuduh, Majistret Chang Kian Hong menjatuhkan hukuman denda RM2,000 sebagai pengajaran supaya tidak melakukan kesalahan sama di
kemudian hari.

Tertuduh dilihat membayar denda di kaunter sejurus selepas prosiding tamat.

Terdahulu dalam kejadian­ 18 Mac lalu, Dhiya Qairina cedera di bahagian belakang badan dan punggung selepas diserang anjing peliharaan jirannya yang terlepas dari kurungan, ketika dia sedang menunggang basikal di hadapan­ rumahnya di Lorong Perda Timur 9, Bandar Perda, dekat sini. 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BUKIT MERTAJAM - Polis menahan empat lelaki anggota geng samun termasuk dua lelaki dipercayai menyamun sepasang suami isteri dan mencederakan mangsa dalam kejadian awal pagi Jumaat di sebuah stesen minyak Lebuhraya Utara-Selatan menghala selatan di sini.
  • BUKIT MERTAJAM - Polis berjaya menumpaskan geng pecah kenderaan dan samun yang aktif di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) susulan penahanan dua suspek lelaki di Seberang Jaya di sini, Khamis lepas.
  • BUKIT MERTAJAM - Seorang tukang rumah yang disamun dua lelaki bermotosikal di Jalan Betik, di sini malam tadi, bertindak nekad mengejar suspek dan berjaya menahan seorang daripada mereka.
  • BUKIT MERTAJAM - Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah dan bekerja sebagai 'runner' menghantar bekalan dadah kepada pembeli berjaya ditahan di Jalan Lebuh Kurau, Taman Chai Leng Park di Perai dekat sini semalam.
  • BUKIT MERTAJAM - Bimbang wabak rabies yang pernah melanda Pulau Pinang pada 2015 berulang, kerajaan negeri mengambil langkah berjaga-jaga dengan melarang kemasukan anjing dari Perak dan Sarawak berkuat kuasa serta-merta.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.