BUKIT MERTAJAM - Kerja-kerja baik pulih di 23 kawasan tanah runtuh berhampiran Empangan Mengkuang di sini mungkin mengambil masa selama 18 hingga 24 bulan untuk disiapkan sebelum kawasan rekreasi berkenaan dibuka semula.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kejadian ribut pada November lalu menyebabkan berlaku hakisan tanah runtuh yang memaksa empangan berkenaan ditutup sepenuhnya berikutan faktor keselamatan.

Menurutnya, perkara itu telah dibawa kepada perhatian Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) untuk mengambil tindakan dengan melantik kontraktor bagi melaksanakan kerja baik pulih kawasan terjejas.

Menurutnya, selagi kawasan hakisan tanah runtuh itu tidak dibaiki empangan yang menjadi tarikan untuk aktiviti riadah di sini tidak dapat dibuka kerana berbahaya kepada orang awam.

"Buat masa ini, kerajaan negeri tidak dapat menunaikan permintaan rakyat yang meminta supaya empangan ini dibuka kerana ia membabitkan soal keselamatan, namun kita sudah bertemu dengan pihak kementerian untuk meminta kerja baik pulih ini disegerakan.

"Kerja baik pulih juga mengambil tempoh masa agak panjang berikutan kerosakannya agak serius termasuk juga kerja pelebaran dan pembesaran empangan yang mana kita jangka ia akan selesai dalam lingkungan 18 hingga 24 bulan dari sekarang," katanya ketika mengadakan lawatan kerja di Empangan Mengkuang di sini tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa dan Adun Penanti, Dr Norlela Ariffin.

Selain tanah runtuh, empangan berkenaan turut terlibat dengann Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) di bawah seliaan kerajaan persekutuan selepas kerajaan negeri menyerahkannya untuk dinaik taraf pada 2011 dalam usaha memastikan Pulau Pinang tidak mengalami catuan air.

Kon Yeow berkata, beliau berharap sebaik projek itu siap, empangan berkenaan akan diserahkan semula kepada kerajaan negeri bagi membolehkan PBAPP mengambil alih operasinya sekali gus menjamin bekalan air secara berterusan.

"Selain MDEP, kementerian turut melaksanakan projek pembinaan Rumah Pam Mak Sulong yang mana ia dijangka siap pada akhir bulan ini sebagai inisiatif menangani masalah banjir termasuk membantu mengisi empangan ketika musim tengkujuh.

"Rumah pam ini membolehkan kita mengepam air dari Sungai Kulim dan masuk ke empangan ini bagi memastikan sumber air di negeri ini terjamin," katanya.