SUNGAI PETANI - Deklarasi Teras Pengupayaan Melayu (Teras) 1440 Hijrah menggariskan 10 intipati sempena Perhimpunan Penggerak Melayu Kebangsaan ke-20 yang dianjurkan, semalam.

Presiden Teras, Mohd Azmi Abd Hamid berkata, deklarasi mengisytiharkan bahawa kerajaan perlu mengkaji dasar berkaitan pembangunan masyarakat Melayu yang dilaksanakan pelbagai jabatan kerajaan.

“Yang paling penting, kerajaan perlu memastikan kedudukan tanah rizab Melayu dilindungi dan diurus dengan baik di mana pembangunannya hendaklah menguntungkan Melayu dalam jangka masa panjang.

“Dasar berkaitan kepentingan peneroka Felda hendaklah dijamin dan diurus dengan cekap, memberi keuntungan kepada peneroka manakala kepincangan pengurusan perlu segera diatasi,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut menyentuh isu perumahan kaum Melayu di bandar besar yang mana kerajaan hendaklah merangkanya dengan teliti.

“Program pembangunan insan perlu diintensifkan untuk membangunkan Melayu dengan penerapan nilai Islam, keterampilan dan disiplin pengurusan berintegriti, amanah dan cekap.

“Kita juga meminta agar fungsi dan keberkesanan Dewan Bahasa dan Pustaka disemak agar objektif asal meningkatkan martabat Bahasa Melayu dipertingkatkan,” katanya.

Menurut Mohd Azmi, usaha membanteras gejala sosial seperti dadah, arak, judi, pergaulan bebas, pornografi, buang anak dan keruntuhan institusi kekeluargaan harus dilaksanakan bersungguh-sungguh manakala gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan birokrat perlu dibanteras habis-habisan.

“Terakhir sekali, institusi Melayu dari Majlis Raja-raja Melayu, agensi agama, institusi pendidikan, ekonomi, golongan profesional, ulama, media dan badan bukan kerajaan hendaklah menilai fungsi masing-masing agar pembangunan bangsa Melayu benar-benar diperkasakan,” katanya.