• 'Bouncer' kelab malam maut ditembak Anggota polis mengusung mayat mangsa selepas selesai menjalani bedah siasat di Hospital Seberang Jaya, semalam.
  • 'Bouncer' kelab malam maut ditembak Seorang suspek dipercayai rakan mangsa dibawa ke lokasi kejadian untuk membantu siasatan polis.
1 /

BUTTERWORTH - Seorang pengawal kelab malam atau ‘bouncer’ maut selepas ditembak seorang lelaki dalam satu kejadian pergaduhan di sebuah premis perniagaan di Taman Desa Murni di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata mangsa, Fauzi Hussin, 24, ditemui maut dengan satu kesan tembakan di rusuk kiri pada 5.25 pagi semalam.

“Sepasukan anggota kita bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan menemui mangsa dalam keadaan terbaring dengan satu kesan tembakan mengenai rusuk kirinya,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Katanya susulan kejadian itu polis menahan enam orang termasuk dua wanita warga Vietnam di sekitar daerah  Seberang Perai Utara iaitu tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Siasatan mendapati seorang daripada mereka yang berusia 20 hingga 30 tahun itu adalah perancang utama  kejadian dan polis turut menemui kelongsong peluru di tempat kejadian,” katanya.

Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan itu bermula dengan perbincangan berhubung perniagaan antara mangsa dan beberapa lelaki sebelum ia bertukar menjadi pergaduhan apabila gagal mencapai kata sepakat.

“Kes itu dianggap selesai selepas kita menahan enam suspek dan mereka kini direman bagi membantu siasatan  mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.