• Bot misi kekang Pati terbakar Kerja memadam kebakaran yang dilakukan oleh TLDM.
1 /

LANGKAWI - Tindakan pantas anggota kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Laksamana Hang Nadim dengan kerjasama Fire Boat 02 Jabatan Bomba dan Penyelamat telah berjaya memadam kebakaran atas Bot Pengawal 27 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang dilaporkan terbakar ketika dalam perjalanan pulang ke Batu Uban, Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Pemerintah Komander, Kapal TLDM KD Laksamana Hang Nadim, Murthi Subromoniam berkata, kebakaran tersebut dilaporkan berlaku sekitar jam 11.57 pagi di perairan 4 batu nautika barat daya Pulau Singa Besar.

"Sebaik menerima arahan dari bilik operasi Markas Wilayah Laut 3, KD Laksamana Hang Nadim telah menggerakkan kekuatan anggota untuk membantu pihak APMM memadam kebakaran tersebut dan tiba di lokasi pada jam 12.45 tengah hari.

“Tiba di lokasi kejadian, pihak kapal mendapati kesemua krew bot berkenaan seramai lima anggota telah dipindahkan ke dalam Bot Petir 80 milik APMM yang turut berada di lokasi sama untuk membantu memadam kebakaran,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, TLDM telah berjaya memadamkan kebakaran bot tersebut dan dapat dikawal sepenuhnya oleh krew kapal KD Laksamana Hang Nadim serta Fire Boat 02 dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Langkawi pada jam 2.05 petang yang turut membantu.

“Kebakaran telah mengakibatkan kerosakan pada enjin kanan serta anjungan bot tersebut, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini.

"Kapal tersebut kemudiannya ditunda oleh Bot Penyelamat 5 serta diiringi oleh Fire Boat 02 menuju ke Jeti Perikanan Bukit Malut, Langkawi,” katanya.

Murthi berkenaan, bot tersebut digunakan dalam misi rondaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang sering berlaku di perairan Langkawi.