GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menggesa Kerajaan Pusat memberi tarikh yang tepat untuk membuat pembayaran bantuan kewangan kepada mangsa banjir seperti diumumkan minggu lalu.

Adun Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo berkata, dalam jawapan di Dewan Rakyat pada 12 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyatakan wang bantuan berjumlah RM250 itu akan dibayar pada pertengahan bulan ini.

“Saya dimaklumkan, sehingga semalam, bukan sahaja bantuan tak sampai, malah penduduk tidak mendapat apa-apa lawatan atau bancian daripada wakil Kerajaan Pusat tentang jumlah penduduk yang terlibat dengan bencana pada November tahun lalu. Jika bancian pun mereka tidak buat, macam mana bantuan nak disalurkan?

“Mereka kata nak bagi bantuan pertengahan bulan, hari ini dah berapa hari bulan? Masih tak ada lagi. Mengapa lambat untuk menyerahkan bantuan? Rakyat perlu wang selepas mengalami kerugian dalam bencana banjir,” katanya kepada media sebentar tadi.

Terdahulu, Jagdeep yang juga Exco Perumahan membuat lawatan ke Masjid Jamek Kebun Lama bagi meninjau kerja membaik pulih masjid tersebut kerana rosak teruk selepas dilanda banjir tahun lalu.

Jagdeep yang senada dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng turut mempersoalkan alasan mangsa banjir di Pulau Pinang hanya diberi RM250 sahaja sedangkan di negeri lain diberi RM500.

Menurutnya, jumlah mangsa dinyatakan Shahidan juga meragukan berikutan ia tidak sama seperti senarai dimiliki Kerajaan Pulau Pinang.

“Dari mana datangnya jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) diumumkan Shahidan iaitu 22,534, sedangkan senarai yang kita ada berjumlah lebih 60,000 mangsa. Dari sumber mana mereka perolehi data itu?

“Saya harap Kerajaan Pusat tidak main-main dengan janji mereka kerana rakyat menderita akibat bencana banjir yang paling buruk pernah berlaku di Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Jagdeep sekali lagi menggesa Kerajaan Pusat mempercepatkan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang Fasa 2 bagi usaha mengurangkan banjir khususnya di kawasan Datuk Keramat, sekali gus di negeri ini.

Jagdeep berkata, kerajaan negeri sudah menjalankan tanggungjawabnya dan berharap agar Kerajaan Pusat melaksanakan projek tersebut secepat mungkin.