KUALA KETIL -  Banjir kilat yang melanda Baling sejak dua hari lepas semakin pulih namun penduduk di kawasan itu tetap mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan hujan masih berlaku di tempat mereka.

Pegawai Daerah Baling, Md Shuhaimie Abdul Rahman berkata, sehingga semalam, jumlah keseluruhan rumah yang terlibat adalah 535 buah dengan 2,420 penduduk menjadi mangsa di beberapa mukim iaitu Kupang, Baling/Bonggor, Pulai, Tawar, Teloi Kanan, Bakai dan Siong.

Md Shuhaimie berkata, sehingga pagi tadi, paras air semakin menurun berbanding semalam akibat cuaca baik dan pihaknya sedang melakukan kerja-kerja penilaian ke atas kerosakan yang berlaku akibat banjir kilat itu.

“Semuanya dalam keadaan terkawal dan tiada mangsa yang dipindahkan. Bantuan seperti kit makanan dan beberapa barangan keperluan lain mangsa juga berjaya disalurkan dalam tempoh tidak sampai lima jam dari waktu bencana bermula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menerima sumbangan daripada Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di sini hari ini.

Tunku Intan Safinaz berkenan menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 menerusi Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) bagi meringankan beban mangsa banjir kilat yang dihadapi lebih 2,000 penduduk Baling pada Khamis lepas.

Md Shuhaimie juga menjelaskan, pihaknya akan mengambil beberapa langkah penyelesaian untuk mengelak berlakunya banjir kilat sekali lagi di kawasan itu.

Menyentuh mengenai sumbangan yang diterima, Md Suhaimie menjelaskan, pihaknya bercadang mahu menggunakannya untuk membaiki kerosakan yang berlaku di Sekolah Kebangsaan Kuala Kupang yang terjejas akibat banjir kilat.

“Sekolah yang menempatkan 462 pelajar termasuk 45 guru dan kakitangan itu mengalami kerosakan peralatan bantuan mengajar, perabot, almari dan buku teks,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar YSB, Misbah Abdul Hamid berkata, pihaknya terutama Tunku Temenggong sangat terkesan dengan musibah yang menimpa rakyat daerah Baling akibat banjir kilat itu.

“Sekiranya berlaku perpindahan pada masa hadapan akibat banjir kilat ini, kami akan turut serta dalam misi bantuan dengan memberi sumbangan berbentuk sukarelawan, kewangan dan barangan seperti lampin pakai buang dan susu bayi,” katanya.-Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BATU PAHAT - Ketika daerah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi mulai surut, kawasan Sri Medan, di sini, mengalami situasi yang berbeza apabila kawasan berkenaan pula dinaiki air.
  • KUANTAN - Keadaan banjir di daerah Pekan tidak banyak berubah dengan jumlah mangsa masih kekal 102 orang daripada 26 keluarga yang ditempatkan di dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam ini.
  • MUKAH - Kira-kira 1,350 penghuni rumah panjang dan penduduk kampung di kawasan Tanjung Pedada, Sungai Mukah, 27 kilometer dari sini terjejas hubungan darat apabila sebahagian jalan utama menghubungi kawasan itu ditenggelami banjir.
  • MERSING - Banjir di daerah ini pulih sepenuhnya apabila kesemua pusat penempatan sementara (PPS) yang dibuka sejak Khamis lalu ditutup dan mangsa telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, jam 6 petang tadi.
  • JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di tiga daerah negeri ini turun mendadak kepada 289 orang daripada 68 keluarga setakat 3 petang ini berikutan penutupan tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).