PADANG TERAP - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya mengesan kegiatan menyeludup daun ketum di sempadan negara apabila menemui 218 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM20,000 di Pos Sahara, Durian Burung di sini, tadi.

Panglima Enam Briged, Brigadier Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata, kesemua daun ketum itu ditemui pasukan Batalion Kedua Regimen Renjer Diraja yang sedang membuat rondaan di kawasan tersebut.

Katanya, ketika rondaan  pasukan itu  yang diketuai Sarjan Mohd Zilkifli Abdullah bersama tujuh anggota, menemui tujuh guni putih dan masing-masing satu bungkusan kain pelekat dan batik yang mengandungi daun ketum ditinggalkan di tepi jalan tanah merah berhampiran pagar sempadan.

“Daun ketum itu diikat sebanyak 450 ikatan sebelum dimasukkan ke dalam guni. Kami percaya daun ketum itu akan diseludup oleh pihak ketiga ke negara jiran setelah diletakkan di lokasi tersebut oleh orang tempatan,” katanya.

Abdul Aziz berkata, semenjak awal Ramadan, ATM mengesan tiga kes penyeludupan daun ketum yang dipercayai didalangi sindiket sama.

Katanya, semua hasil rampasan itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan selanjutnya.