ALOR SETAR - Penduduk di Kampung Hutan Pulai, Mukim  Hutan Kampung merayu kepada pihak berwajib  supaya dapat membaiki serta menurap jalan di kampung itu yang dikatakan semakin rosak dan membahayakan keselamatan mereka.

Shaharudin Shuib,48 , berkata, jalan itu semakin berlopak sejak dua tahun lalu selepas tiada penyelenggaraan dilakukan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

“Penduduk juga bimbang kanak-kanak sekolah yang menaiki basikal. Apabila hujan pula jalan itu akan dipenuhi dengan air dan membolehkan kenderaan yang melaluinya mudah rosak,” katanya.

Menurutnya lagi, masalah jalan itu disebabkan oleh kenderaan berat yang turut menggunakan jalan itu hingga semakin  berlopak dan mendap.

“Baru-baru ini ada pihak menambak batu kasaran pada lopak di sepanjang jalan itu tetapi itu tidak dapat menyelesaikan masalah jalan di situ.

"Usaha itu hanya mengundang bahaya bagi kenderaan ringan seperti motosikal mudah tergelincir dan boleh membahayakan kepada pengguna.

“Oleh itu saya berharap Mada dapat menurap jalan itu semula demi keselesaan penduduk di sini," katanya.