ALOR SETAR - Adun Kota Darul Aman, Teoh Boon Kok tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, selepas tuntutannya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah tidak diendahkan.

Book Kok pada 19 Oktober lalu memberi tempoh seminggu kepada Ahmad Bashah untuk memberi perincian berhubung peruntukan di kawasan Dun Kota Darul Aman, yang didakwa dibelanjakan untuk aktiviti di pejabat berkenaan.

“Perkara ini telah saya bangkitkan pada Sidang Dun Kedah, Ogos lalu. Ketika itu, saya mohon butiran peruntukan negeri untuk kerusi Dun dimenangi pembangkang, namun jawapan diberikan meragukan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan laporan diperoleh, RM20,000 dibelanjakan untuk penyelenggaraan Pejabat Dun Kota Darul Aman, RM17,000 untuk aktiviti tahunan wakil rakyat Dun Kota Darul Aman serta RM3,500 pembelian waklie-talkie.

“Kesemua perbelanjaan itu direkodkan bawah pejabat wakil rakyat, iaitu saya, sedangkan saya langsung tidak terima satu sen,” katanya.

Boon Kok berkata, ketika ditanya dalam Sidang Dun lalu, beliau dimaklumkan terdapat kesilapan ayat namun penjelasan itu tidak munasabah.

Sehubungan itu, pihaknya mahu SPRM menyiasat kemungkinan wujud salah guna kuasa dan peruntukan, bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Manakala Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung selaku peguam dilantik berkata, pihaknya kesal kerana Ahmad Bashah tidak menjawab surat peguam bertarikh 19 Oktober, berhubung penjelasan penyalahgunaan peruntukan negeri di kawasan terbabit.

“Jika peruntukan itu digunakan untuk kepentingan Umno, ia mempunyai elemen jenayah. Saya percaya bukan sahaja Umno mengawal penggunaan peruntukan negeri, malah berjuta-juta dana pembangunan dari peruntukan khas perdana menteri untuk kawasan Alor Setar setiap tahun, turut dikawal,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GEORGETOWN - JKP Sdn Bhd (JKPSB), sebuah agensi kerajaan Persekutuan, mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil beberapa dokumen bagi membantu siasatan berkaitan isu kepentingan dan pengurusan kewangan agensi itu.
  • ISKANDAR PUTERI - Seorang wakil rakyat pembangkang diarahkan meninggalkan Dewan Negeri selepas mengganggu sesi Rundingan Perbekalan Tambahan pada Persidangan Dewan Negeri, semalam.
  • KOTA BHARU - Jabatan Imigresen Malaysia melancarkan skuad Cakna Bah sebagai persediaan untuk menjaga kebajikan anggota mereka sekiranya Kelantan dilanda banjir tahun ini.
  • KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu mengesahkan seramai 38 orang ditangkap bersabit kesalahan rasuah di Terengganu, sejak Januari sehingga kini.
  • KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih lagi menunggu Kerajaan Negeri Selangor untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).