ALOR SETAR - Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid diberi masa tujuh hari untuk membuat permohonan maaf berhubung dakwaan beliau kononnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainudin menjadi dalang menghalang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada diangkat sebagai perdana menteri.

Ketua Bahagian Bersatu Padang Serai, Khairul Anuar Ramli membuat gesaan itu, sekiranya wakil rakyat itu gagal mengemukakan bukti terhadap pertuduhan dibuat, beliau meminta Abdullah Sani memohon maaf segera terhadap Tun Mahathir dan Tun Daim.

“Kita juga mendesak ketua umum (Anwar) mengambil tindakan kepada Abdullah Sani. Jika, beliau (Anwar) gagal mengambil tindakan ianya seolah-olah beliau merestui tindakan wakil rakyat itu,” katanya, pada sidang media, di pekarangan Dun Kedah, di sini, semalam.

Pada 12 Ogos lalu, Abdullah Sani membuat kenyataan beliau mempunyai bukti dan maklumat berhubung dakwaan beliau kononnya Tun Daim menjadi dalang menghalang Anwar daripada diangkat sebagai perdana menteri.

Katanya, beliau boleh kemukakan bukti tersebut sekiranya diminta berbuat demikian dan tidak akan berganjak dengan dakwaan berkenaan.