GEORGETOWN - Tujuh pekerja kilang cedera apabila bas yang mereka naik  terbalik di Paya Terubong, pagi tadi.

Jurucakap bomba berkata, mangsa yang terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita itu cedera ringan dalam kejadian kira-kira jam 5.50 pagi itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, bas kilang tersebut telah melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik.

"Ketika kejadian, terdapat 38 pekerja kilang di dalam bas dan hanya tujuh daripada mereka cedera ringan. Mangsa dikeluarkan orang awam yang berada di kawasan terbabit.

"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan. Kerja-kerja mencuci tumpahan minyak dijalankan dan operasi tamat pada jam 7.30 pagi tadi," katanya.