ALOR SETAR - Kerajaan negeri telah mengenal pasti sebanyak 229 daripada 573 kawasan tanah masjid di negeri ini yang status tanahnya masih bukan di bawah Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), persidangan Dun diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Kerja Raya, Pelancongan dan Warisan, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, ia banyak melibatkan masjid yang dibina di kawasan perumahan baharu.

"Bagi kawasan tanah perkuburan Islam di seluruh negeri ini pula, sebanyak 568 yang status tanahnya masih belum di bawah MAIK," katanya ketika menjawab soalan Kama Noriah Ibrahim (BN - Pedu) yang ingin tahu jumlah kawasan tanah masjid dan perkuburan Islam yang masih belum berstatus tanah MAIK.

Katanya, pegawai daerah dan pegawai agama daerah telah diminta menjalankan tugas bagi memastikan baki tanah masjid dan tanah perkuburan Islam yang masih belum berstatus di bawah tanah MAIK agar didaftarkan segera.

Ini kerana, kata Mohd Rawi, berlaku masalah di beberapa masjid lama apabila kerja naik taraf dan baik pulih tidak dapat dijalankan berikutan tapak masjid berkenaan tidak berada di bawah status tanah MAIK.

"Ada tanah masjid yang diletakkan di bawah nama penghulu jadi memang sukar untuk menjalankan kerja naik taraf maka perbincangan antara pemilik tanah dan Pejabat Agama Daerah perlu dibuat bagi membolehkan status tanah itu ditukar," katanya ketika menjawab soalan tambahan Kama Noriah berhubung masalah kerja naik taraf di masjid lama.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi serta Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata cadangan pembinaan stadium bola sepak yang baharu masih di peringkat cadangan.

"Apabila ia dilaksana nanti ia mampu menampung jumlah penonton sehingga 60,000 berbanding 40,000 orang," katanya ketika menjawab soalan Nor Saidi Nanyan (BN-Kuah) berhubung tindakan kerajaan negeri  untuk membina stadium baharu. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PORT DICKSON - Pemilik tanah lot kawasan penternakan babi (PFA) di Tanah Merah Site A dan Bukit Pelandok mengemukakan permohonan menukar status tanah dan pengurangan bayaran premium tanah daripada kerajaan negeri.
  • JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor meluluskan permohonan 146 penduduk perkampungan di Permatang Kempas, di sini untuk mendapatkan hak milik tanah didiami.
  • TUMPAT - Pembinaan rumah di penempatan baharu bagi 13 keluarga yang terlibat dengan pengambilan tanah untuk Projek Kampung Warisan Pelancongan di Kampung Laut dijangka siap pada Oktober ini.
  • PARIT - Bukan sahaja berani menceroboh tanah kerajaan malahan lebih berani dengan menanam pokok ketum yang dipercayai boleh mendatangkan pulangan lumayan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.