BALIK PULAU - Sebanyak 15 premis makanan di kawasan daerah Barat Daya di sini, diarahkan ditutup selama 15 hari bermula hari ini kerana didapati tahap kebersihan yang tidak memuaskan dan kotor.

Pegawai Kesihatan Daerah Barat Daya Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Umarazina Abdul Kadir berkata dalam Operasi Penang Sihat 9/2018 bermula 10 pagi hingga 2 petang, pihaknya membuat pemeriksaan di lebih 20 premis makanan dan 15 daripadanya didapati kotor.

"Dalam pemeriksaan itu, kami mendapati kedai makanan tersebut bukan sahaja kotor malah ada terdapat lipas serta tikus dan ada sebuah kedai di Bayan lepas turut menjual beberapa bungkusan air ketum bersama ubat batuk," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut membuat laporan polis berhubung penemuan air ketum dan ubat batuk berkenaan kerana ia bukan di bawah bidang kuasa jabatan kesihatan.

Katanya, operasi dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha memastikan peniaga kedai makanan menjaga kebersihan. - Bernama