KUALA TERENGGANU - Penduduk Terengganu diminta  berwaspada  dengan  perubahan cuaca yang berlaku di negeri itu berikutan pertembungan angin barat daya dan angin tenggara yang boleh membawa kepada kejadian ribut.

Mengikut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca baik pada waktu pagi disusuli dengan ribut petir  pada  lewat petang yang berlaku sekarang dijangka akan berterusan sekurang-kurangnya seminggu lagi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata ribut yang melanda empat daerah di Terengganu Isnin lepas berpunca  daripada  pertembungan angin barat daya dan angin tenggara

Katanya ini tiada kaitan dengan Monsun Timur Laut (MTL) atau musim peralihan monsun yang kebiasaannya hanya akan bermula sekitar pertengahan Oktober setiap tahun.

“Ribut biasanya kerap berlaku semasa peralihan monsun tetapi boleh juga terjadi semasa monsun barat daya sekiranya wujud keadaan atmosfera yang kondusif dan fenomena ribut ini berupaya menyebabkan kemusnahan yang agak teruk,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata ribut yang melanda  pada 4 petang Isnin lalu menyebabkan 2,600 rumah penduduk dan 48 sekolah mengalami kerosakan manakala APM menerima lebih 20 kes pokok tumbang di beberapa jalanraya utama sekitar negeri ini.  

Ditanya mengenai persiapan APM Terengganu untuk menghadapi banjir pada tahun ini pula, Che Adam berkata satu taklimat khas akan diadakan dalam masa terdekat berhubung perkara itu.

"Pihak sekretariat pengurusan bencana akan memberi taklimat persediaan sebelum, semasa dan selepas banjir itu kepada wakil rakyat dan diperluaskan kepada semua wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk memastikan operasi bantuan kepada mangsa banjir berjalan lancar.

"Kesemua pengurusan yang terlibat dengan bencana banjir nanti juga perlu mengikuti Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan agar kita dapat meminimakan kerosakan infrastruktur, harta benda dan kehilangan nyawa," katanya. - Bernama