“KAMI akan buat upah haji untuk arwah mak dan abah tahun depan,” kata Nur Salwani Latib, 35, anak kepada pasangan imam masjid dan guru al-Quran yang maut dalam nahas dekat Felda Belara di Kuala Nerus, Jumaat lalu.

Nur Salwani berkata, badal haji itu bagi memenuhi hajat kedua-dua orang tuanya, Latib Ishak, 66, dan Rahanah Hamid, 60, yang mahu menunaikan rukun Islam kelima itu pada musim haji tahun depan.

Malah katanya, sehari sebelum kemalangan berlaku, ibu dan bapanya sempat mendengar ceramah mengenai ibadah haji sempena program memasak bubur asyura di Masjid Felda Cerul yang juga tempat bapanya bertugas.

“Mak cakap mungkin dia dengan abah boleh pergi ke Mekah tahun depan sebab mereka sudah buat rayuan.

“Tapi apakan daya, jadi begini pula. Tak sangka kami akan hilang kedua-duanya sekelip mata,” katanya ketika dikunjungi Sinar Harian di rumah pasangan itu di Felda Cerul, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.10 petang, Jumaat lalu di Kilometer 36, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Felda Belara, Latib dan Rahanah yang mempunyai lapan anak meninggal dunia di lokasi kejadian selepas Proton Wira dinaiki mangsa bertembung dengan pacuan empat roda Isuzu D-Max.

Semasa kejadian, pasangan itu dalam perjalanan dari Kemaman ke Pasir Puteh, Kelantan sementara D-Max yang dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun dari arah bertentangan iaitu dari arah Sungai Tong Setiu ke Sungai Ikan, Kuala Terengganu.

Potret keluarga terakhir yang dirakam pada Aidiladha lalu.

 

Terkejut ibu bapa kemalangan

Nur Salwani yang tinggal di Kota Bharu berkata, kedua ibu bapanya ketika kejadian dalam perjalanan pergi ke rumah ibu saudaranya di Selising, Pasir Puteh kerana mahu menyerahkan sebuah mesin basuh serta merancang untuk singgah dan bermalam di rumahnya di Kota Bharu.

Katanya, ibunya memberitahu mahu bermalam semalaman di rumahnya sebelum balik keesokannya dan singgah di rumah kakaknya di Marang dan bapa saudaranya di Kerteh semasa dalam perjalanan pulang semula ke Felda Cerul.

“Sekitar jam 7 pagi lebih pada hari kejadian mak hubungi saya dan beritahu nak pergi ke Kota Bharu lepas hantar mesin basuh di rumah mak saudara saya di Selising. Mesin basuh tu mereka letakkan di kerusi penumpang belakang.

“Dalam jam 10 lebih saya hubungi mak sebab nak suruh mak beli duku Terengganu dan masa tu mak cakap mereka dah beli awal-awal dan turut makan duku yang dah dibeli.

“Namun pada jam 2 lebih saya terkejut bila ada orang hubungi dan dia kata nak cari waris mak dengan abah. Bila saya cakap saya anak Latib dan Rahanah, dia kata mak dengan abah kemalangan,” katanya.

Ekoran itu, Nur Salwani yang juga juru x-ray di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II segera pulang ke rumah kerana waktu itu sedang bekerja.

Menurutnya, dia mengetahui kedua-dua orang tuanya itu meninggal dunia selepas dihujani ucapan takziah dalam kumpulan WhatsApp semasa berkejar ke Terengganu.

“Kali terakhir saya jumpa mak dan abah pada Hari Raya Haji lalu. Masa itu mak dan abah nampak gembira sebab pada hari raya ketiga, adik saya kahwin jadi mak dan abah sangat suka dapat menantu.

“Namun beberapa hari sebelum kemalangan, jiran-jiran ada cerita yang mak berubah jadi senyap sebab arwah peramah,” katanya.

 

Nor Maisarah

 

‘Tahun terakhir hantar makanan ke masjid’

Sementara itu, anak bongsu pasangan itu, Zul Azham Latib, 22, berkata, ibu dan bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum bertolak dari rumah pada hari kejadian.

“Saya pun tak rasa berat hati atau tak sedap hati semasa bersalam dengan mak dan abah sebelum saya keluar bekerja pada jam 6.40 pagi pada hari kejadian.

“Mak dan abah bergerak dari rumah sekitar jam 10 pagi,” katanya yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Gebeng, Pahang.

Bagaimanapun, dia dikejutkan dengan berita duka kemalangan yang meragut nyawa kedua-dua ibu bapanya itu selepas menunaikan solat Jumaat sebelum segera bergegas ke Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, jiran mangsa, Nor Maisarah Jasli, 34, berkata, ketika kemalangan berlaku dia melalui lokasi kejadian dan tidak menyangka kemalangan itu melibatkan jiran yang juga imam dan guru al-Quran kampungnya.

“Masa itu kebetulan saya tidur di rumah nenek di Chalok, Setiu dan mahu ke Pejabat Felda Wilayah di Kuala Nerus.

“Tapi selepas lalu kawasan kemalangan sekitar jam 3.30 petang, dalam kumpulan WhatsApp tersebar yang mangsa dari Felda Cerul jadi saya patah balik ke lokasi dan bila tengok kad pengenalan, kedua-dua mangsa jiran saya,” katanya yang juga kerani Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Rancangan (JKKR) Felda Cerul.

Jelasnya, semasa tiba di lokasi kejadian kedua-dua mangsa sedang dikeluarkan dari dalam kereta yang remuk teruk.

Walaupun kedua-dua mangsa tidak menunjukkan perubahan sikap yang ketara, namun, kata Nor Maisarah, anak murid Allahyarhamah Rahanah merasa pelik dengan kata-kata guru mereka bahawa tahun ini adalah tahun terakhir menghantar makanan ke masjid.

“Arwah cakap tahun ini ‘last’ masak dan hantar makanan ke masjid. Sebagai guru mengaji, memang setiap tahun arwah masak dan bawa makanan ke masjid.

“Arwah ada 40 pelajar mengaji al-Quran iaitu 30 kanak-kanak dan selebihnya orang dewasa,” katanya.

Jenazah pasangan berkenaan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Cerul kira-kira jam 1 pagi kelmarin.