KUALA TERENGGANU - Gara-gara membuat pinjaman ah long, seorang tukang jahit hidup dalam ketakutan selepas menerima ugutan bunuh, pada 3 Julai lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.12 petang, wanita berusia 46 yang ketika itu berada di kedai jahitnya di Gong Badak, Kuala Nerus, menerima mesej berbaur ugutan daripada nombor telefon tidak dikenali.

Menurut sumber, mesej tertera ayat ‘mampus lu’ sekiranya tidak menjelaskan hutang pinjaman mengundang ketakutan mangsa.

“Mangsa mengakui yang dia ada membuat pinjaman ah long sebelum ini dan mendakwa pernah cuba untuk menjelaskan keseluruhan pinjaman tersebut.

“Namun wakil daripada ah long berkenaan enggan menerima bayaran penuh selain memaksa mangsa menjelaskan bayaran bunga yang dikenakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber berkata, mangsa yang tidak bersetuju dengan syarat dikenakan kerana jumlah bunga dikenakan dianggap tidak masuk akal mengambil keputusan berdiam diri sebelum menerima mesej ugutan tersebut.

“Mangsa yang bimbang keselamatan dirinya selepas menerima mesej tersebut nekad membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan.