KUALA TERENGGANU - Mudah, murah dan pantas. Itu antara alasan yang diberikan apabila diajukan kenapa memilih kad raya elektronik berbanding kad raya konvensional.

Tidak dapat dinafikan, kepesatan teknologi menyebabkan generasi kini lebih memilih untuk menggunakan aplikasi yang lebih mudah, seperti medium sosial WhatsApp, Facebook, Twitter dan WeChat.

Bagaimanapun, hari raya dilihat kurang ‘serinya’ dan tidak lengkap dengan kad raya yang menjadi tradisi masyarakat kita sejak dahulu lagi dan kecenderungan masyarakat kini dengan teknologi dilihat sedikit sebanyak menghakis kemeriahan hari raya itu sendiri.

Ia diakui Nur Fazlizai Ali@Omar, 31, yang menyatakan semangat untuk berhari raya semakin pudar kerana ia tidak semeriah dahulu.

“Saya masih ingat masa zaman sekolah, kad raya antara perkara wajib yang perlu ada. Biarkan sesama rakan sekelas, kami masih mengutus kad antara satu sama lain, memang meriah.

“Kalau ada yang hantar guna pos, lagi teruja. Kad-kad yang saya dapat akan ditampal pada dinding sebagai dekorasi raya tapi semakin lama saya lihat tradisi menghantar kad raya sudah tidak ada.

“Biasanya ucapan sekarang hanya guna media sosial. Walaupun perasaannya berbeza tapi ia sudah cukup bermakna tanda ingatan sesama kenalan dan saudara mara,” katanya.

Alasan jimat masa, kos

Bagi Nur Maisarah Mohd Nadzri, 18, menjadi kebiasaan buatnya menggunakan kad raya elektronik dan media sosial kerana ia lebih menjimatkan masa dan wang daripada pergi ke kedai membeli kad raya.

Dari Kiri: Nur Maisarah, Ariss Danish, Muhammad Abdin Shakir

Bagaimanapun, dia mengakui kad raya konvensional tidak boleh diabaikan hanya kerana ledakan teknologi maklumat mempengaruhi sebahagian besar kehidupan masyarakat memandangkan peranan kad raya konvensional membawa peranan sebenar Hari Raya Aidilfitri.

“Walaupun generasi kami dilihat lebih cenderung kepada teknologi, tapi ia tidak bermakna kami melupakan amalan dan adat masyarakat kita. Kami masih mengamalkan amalan menziarahi sanak saudara dan rakan-rakan.

“Lagipun ia memang dituntut dalam agama sendiri untuk merapatkan hubungan sesama insan lain. Ibu bapa perlu ambil peranan supaya anak-anak mereka terbiasa dengan budaya menziarahi sanak saudara dan rakan taulan,” katanya.

Didik tradisi kepada generasi baharu

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Ariss Danish Mohd Kabi, 18, berpendapat, golongan muda yang lebih gemar bermain telefon berbanding bersembang dengan sanak saudara pada hari raya bukanlah kerana terlampau taksub dengan media sosial.

Sebaliknya dia berkata, mereka tidak disemai dengan budaya itu, justeru ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mendidik anak tentang adat dan budaya yang sebenarnya.

“Ada kalanya mereka rasa kekok dan tidak tahu bagaimana untuk bergaul, lebih-lebih lagi dengan mereka yang lebih berusia.

“Di sini, mungkin ibu bapa boleh mainkan peranan agar anak mereka tidak menjadi ‘dingin’ dengan sanak saudara dan kenalan. Saya percaya kalau mereka selesa, mereka boleh bergaul mesra dengan orang lain,” katanya.

Rakannya, Amirul Aiman Adang, 18, turut sependapat namun katanya, walaupun terdedah dengan teknologi, mereka masih menghormati orang lain dan tahu di mana hadnya.

Penggunaan kad raya sudah semakin berkurangan, seiring dengan perkembangan teknologi.

Katanya, mereka lebih terdedah kepada media sosial namun ia bukan dijadikan alasan untuk mereka bermasam muka dengan sanak saudara dan orang lain.

Bukan salah teknologi

Pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Nur Fatihah Mohd Nadzri, 14, mengakui penggunaan kad raya konvensional lebih memberi makna bagi hari raya itu sendiri.

Namun katanya, kos yang tinggi membebankan bagi golongan pelajar sepertinya menyebabkan media sosial menjadi pilihan.

“Walaupun kami lebih suka menggunakan media sosial adalah tidak adil untuk mengatakan kami meminggirkan budaya masyarakat kita. Kami masih mengamalkannya tapi disesuaikan dengan peredaran masa,” katanya.

Muhammad Abdin Shakir Mohd Masror, 18, berpendapat, teknologi tidak harus dipersalahkan sebaliknya ia bergantung kepada individu itu sendiri.

“Saya tidak nampak kenapa kita perlu salahkan teknologi, sebaliknya ia bergantung pada sikap kita sendiri,” katanya.

Muhammad Asyraf Ismail, 18, berkata, ada kalanya rasa terkilan apabila rakan sebayanya yang lebih gemar bermain telefon ketika menziarahi pada hari raya.

Jelasnya, apa gunanya ziarah jika mereka lebih leka bermain telefon berbanding berkenalan dan beramah mesra dengan orang lain.