KUALA TERENGGANU - Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang setelah rumah sewa mereka di Kampung Paya Datu, Manir, di sini, musnah dalam kebakaran kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Bagaimanapun, mangsa iaitu Azral Affendy Ismail, 40, yang juga pekerja kontrak binaan bernasib baik apabila dia dan isteri serta tiga anak mereka tiada di rumah ketika kejadian berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Che Shaari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.30 petang dan sampai kira-kira jam 4.41 petang.

“Apabila sampai di lokasi, kita dapati rumah itu sudah 90 peratus terbakar. Api marak dengan cepat memandangkan ia berstruktur kayu sepenuhnya.

“Bagaimanapun, kita berjaya kawal kebakaran pada dapat jam 4.50 petang dan padam sepenuhnya pada jam 4.50 petang. Seramai 28 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dan Jalan Kota digerakkan untuk operasi ini, dengan lima jentera.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan anggaran kasar kerugian adalah kira-kira RM110,000 termasuk rumah dan peralatan dalam rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria yang mendapat maklumat tentang kejadian berkenaan, turun padang bagi melawat mangsa.

Beliau ketika ditemui, melahirkan ucapan takziah dan simpati terhadap mangsa dan keluarga.

“Alhamdulillah, apa yang penting kita bersyukur kerana kebakaran ini tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa. Saya difahamkan, antara sebelum dan selepas hari raya, tidak kurang 20 kejadian kebakaran telah berlaku di seluruh Terengganu.

“Saya telah berbincang dengan pihak bomba dan Insya-ALLAH, saya akan panjangkan kepada pihak atasan bomba untuk memastikan supaya boleh beri ingatan, makluman dan nasihat kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati dan berwaspada sentiasa,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LANGAT - Kanak-kanak yang berusia 12 tahun yang berjaya menyelamatkan diri sempat menyaksikan nenek, datuk, adik dan sepupunya ditetak oleh seorang lelaki yang memakai topeng sebelum rumahnya dibakar.
  • DUNGUN - 16 sekeluarga termasuk ibu dalam pantang bersama sepasang bayi kembar yang baharu berusia 13 hari hilang tempat tinggal apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Paya, Balai Besar, di sini dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengahari semalam.
  • BANDAR BAHARU - Seorang ibu tunggal menanggung kerugian berganda selepas wang simpanan RM10,000 yang dihimpun sejak 10 tahun lalu hangus dalam kebakaran di kediamannya dalam kejadian 3 petang semalam di Kampung Sungai Buloh di sini.
  • PONTIAN - Kekurangan sumber air menjadi cabaran buat anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas yang bertugas memadam kebakaran pusat pelupusan sampah dekat Kampung Air Putih yang bermula sejak seminggu lalu.
  • KLUANG - Seorang lelaki maut apabila kereta jenis Camry yang dipandunya hilang kawalan di kilometer (KM) 36, Jalan Yong Peng- Paloh, dekat sini, petang semalam.