KUALA TERENGGANU- Tiga lelaki tempatan dipercayai ejen judi haram bola sepak Piala Dunia 2018 diberkas dalam serbuan berasingan di sini, sempena Ops Soga 7.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 29 hingga 36 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan iaitu pada 28 Jun, 2 dan 4 Julai lalu di premis dan pusat hiburan.

Turut berjaya dirampas, wang tunai berjumlah RM3,100 dipercayai wang pertaruhan selain tiga buah telefon bimbit pelbagai jenama yang disyaki digunakan untuk berjudi.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu dijalankan secara individu dan tidak membabitkan sindiket besar.

"Serbuan dibuat ketika perlawanan berlangsung dan siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek lebih kepada ejen dalam aktiviti perjudian berkenaan dengan nilai pertaruhan RM30,000.

"Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun, denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM200,000, jika sabit kesalahan.

"Bagaimanapun, semua suspek dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu keputusan forensik terhadap barang rampasan yang dijalankan pihak pakar," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK) di sini, hari ini.

Menurut Aidi, meskipun kegiatan perjudian bola sepak di Terengganu masih terkawal, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan risikan berterusan dalam usaha membanteras gejala bookie bola sepak di negeri ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perjudian bola sepak sempena Piala Dunia 2018 diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Aidi berkata, tiada sebarang jenayah pecah rumah dilaporkan di Terengganu sepanjang tempoh Ops Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Jelasnya lagi, penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) oleh orang ramai juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

"Kita lihat orang ramai lebih gemar memilih aplikasi VSP untuk menghantar Borang Maklumat Balik Kampung berbanding secara manual.

"Kesedaran orang ramai  yang lebih positif jika dibandingkan sebelum ini amat membantu polis memastikan sifar jenayah pecah rumah pada musim perayaan," katanya.