KEMAMAN - Cubaan 35 nelayan Vietnam yang menaiki tiga bot untuk mengaut hasil laut negara secara haram gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) ketika sedang leka menangkap ikan.

Ketua Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Mohamad Rezal Kamal Bashah berkata, ketiga-tiga bot itu ditahan kapal ronda Maritim yang sedang menjalankan rondaan Op Makmur, Op Perkasa Timur dan Op Marikh di perairan Pahang, Terengganu dan Kelantan di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Menurutnya, semasa kapal sedang melakukan rondaan di perairan Terengganu mereka mengesan tiga bot sedang menangkap ikan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketiga-tiga bot itu ditahan antara jam 12 hingga 1.45 tengah hari kelmarin pada jarak lingkungan 140 hingga 145 batu nautika dari Kuala Kemaman.

"Hasil pemeriksaan kita dapati tiga bot itu dinaiki tiga tekong dan 32 awak-awak berusia antara 19 hingga 58 tahun.

"Tekong bot juga gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit yang sah dari Jabatan Perikanan untuk menangkap ikan. Tekong dan awak-awak juga tidak memiliki dokumen pengenalan diri," katanya pada sidang media di Pangkalan Maritim Kemaman, semalam.

Ketiga-tiga bot yang ditahan tiba di jeti Pangkalan Maritim Kemaman, petang semalam.

Mohamad Rezal berkata, pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga bot berkenaan mengandungi hasil tangkapan ikan segar sebanyak 600 kilogram.

"Selain itu kita turut temui minyak diesel sebanyak 3,000 liter. Minyak yang banyak ini dipercayai untuk menampung penggunaan bahan api bot-bot itu di tengah laut bagi tempoh yang lama," katanya.

Menurutnya, nilai rampasan ketiga-tiga bot tersebut bersama peralatan dianggarkan bernilai RM3 juta.

Katanya, kesemua nelayan warga asing terbabit ditahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

"Jika sabit kesalahan bot-bot terbabit boleh dirampas dan tekong boleh didenda sehingga RM1 juta dan awak-awak boleh didenda RM500,000 seorang," katanya.

Mohamad Rezal berkata, operasi yang dilakukan pihaknya bagi mencegah dan menyekat pencerobohan bot nelayan asing yang semakin berani memasuki serta menangkap ikan di perairan negara.

"Maritim akan terus komited memperkukuhkan kedaulatan perairan negara dengan mempergiatkan lagi rondaan," katanya.