MARANG - Sebatang pokok duku berusia lebih 250 tahun diiktiraf sebagai pokok duku paling tua di Terengganu yang menjadi mercu tanda Kampung Bukit Cerana di sini, akhirnya menyembah bumi.

Abdullah Jusoh, 79, berkata, pokok duku kebanggaan rakyat Terengganu yang tumbuh dekat pekarangan rumahnya itu tumbang selepas ribut melanda kampung berkenaan.

Menurutnya, struktur pokok duku yang mempunyai nilai sejarah tersendiri itu juga dilihat semakin lemah sejak beberapa tahun lalu dan mulai condong menyebabkan ia lebih mudah untuk tumbang.

“Kali terakhir ia berbuah tahun lalu. Tahun ini tiada dah buah duku dari pokok duku paling tua itu. Tinggal batang pokok sahaja selepas ia tumbang dipukul ribut,” katanya ditemui Sinar Harian, semalam.

Abdullah berkata, namun, sejarah dan keunikan pokok duku berusia lebih 250 tahun itu tetap meninggalkan pelbagai memori kepada penduduk kerana ia menjadi perhatian rakyat Malaysia sebelum ini.

Menurutnya, sebelum ini, ramai berkunjung ke negeri Terengganu tidak akan lupa untuk ke Kampung Bukit Cerana bagi melihat sendiri kewujudan pokok itu khususnya pada musim buah duku.

Abdullah menunjukkan batang pokok duku tertua Terengganu yang tumbang menyembah bumi

“Apa yang menarik mereka ke kampung ini ialah untuk melihat pokok duku itu. Ia masih mampu mengeluarkan buah yang lebat walaupun pokok sudah tua dan saiznya juga besar seperti pokok balak.

“Ini bukan satu cerita karut kerana orang luar yang berkunjung ke Kampung Bukit Cerana sebelum ini hanya datang kerana sebatang pokok buah duku yang wujud sejak lebih 250 tahun itu,” katanya.

Namun sejarah dan keunikan sebatang pokok buah duku yang berusia lebih 250 tahun itu kini tinggal memori sekaligus mungkin menjadi faktor Kampung Bukit Cerana hilang pengaruh di mata pelancong.

Menurut legenda cerita rakyat sebelum ini, pokok duku di Terengganu merupakan sejenis pokok liar yang telah ditemui oleh seorang penduduk di Kampung Bukit Cerana sehingga ia menjadi sebutan.

Kemudiannya, penduduk berkenaan mempersembahkan buah duku itu kepada sultan ketika itu selepas mendapati rasa buah dari pokok itu sangat istimewa kerana rasanya manis dan enak.

Selain itu, ada juga cerita yang menyatakan pokok duku berusia lebih 250 tahun itu merupakan baka generasi kedua daripada pokok induk yang musnah akibat kebakaran hutan ketika perang Jepun.

Perkara itu turut diakui seorang pemuda, Redzuan Razali, 30, yang menegaskan masih ada pengunjung datang ke kampung itu namun pulang hampa selepas dimaklumkan pokok tersebut kini sudah tiada.

Menurutnya, pokok itu adalah satu-satunya penghubung zuriat duku Terengganu dan merupakan mercu tanda kebanggaan warisan rakyat yang tumbuh di kampung berkenaan ratusan tahun lalu.

“Usianya telah mencecah lebih 250 tahun, dikenalpasti sebagai pokok duku tertua di negeri Terengganu. Sudah pasti apabila ia tumbang akan meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk.

“Tahun lepas merupakan tahun terakhir pokok tersebut berbuah. Kemeriahan musim buah duku kali ini juga dirasakan kurang meriah selepas pokok duku tertua itu tumbang,” katanya ketika ditemui.