KUALA TERENGGANU - Seorang tekong bot Vietnam dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana memberi suapan RM1,000 kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Tertuduh, Nguyen Van Ut,50, turut berdepan hukuman penjara 12 bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan wang tunai RM1,000 kepada seorang ejen Kerajaan Malaysia iaitu Leftenan Komander (M), Muhmad Rezal Kamal Bashah yang bertugas di Pengkalan Maritim Kemaman pada jarak 43.3 batu nautika dari Tanjung Mat Amin Kemaman, jam 2 pagi pada 12 April lalu.

Suapan itu sebagai dorongan untuk melepaskan bot nelayan nombor pendaftaran TRF 242 daripada ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.