KUALA TERENGGANU -  Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah meluluskan permohonan hampir RM9 juta di bawah skim pinjaman Tabung Modal Pusingan Jabatan Pembangunan Koperasi (TMP-JPK) kepada empat buah koperasi di negeri ini, bermula Januari hingga Julai lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Henry Sum Agong berkata, sebanyak RM5.5 juta diberikan kepada Koperasi Kakitangan Kerajaan Terengganu Berhad (KOKITAB) dan RM1 juta untuk Koperasi Kakitangan Risda Terengganu Berhad (KOKITAR).

“Sementara sebanyak RM2 juta diperuntukkan untuk Koperasi Kesihatan Terengganu Berhad serta Koperasi Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Dungun Berhad menerima RM450,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara (HKN) 2017 Peringkat Negeri Terengganu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk  Seri Ahmad Razif Abd Rahman, semalam.

Menurut beliau, SKM juga telah meluluskan Pinjaman Perniagaan Koperasi sebanyak RM7 juta kepada dua koperasi negeri ini dalam tempoh yang sama.

“Koperasi Perwaja Kemaman Berhad dan Koperasi Keluarga Datuk Haji Hashim Mamat Kuala Terengganu Berhad masing-masing menerima sebanyak RM3.5 juta menerusi skim ini,” katanya

Katanya, SKM berharap pembiayaan dana melalui pinjaman TMP-JPK dan pinjaman perniagaan kepada koperasi terpilih akan dapat dimanfaatkan sebaiknya,” katanya.

Sementara itu,  beliau berkata, HKN adalah untuk memberi pengiktirafan ke atas sektor sumbangan sektor koperasi kepada pembangunan sosioekonomi negara, mempromosi produk koperasi kepada orang ramai dan menggalakkan masyarakat Malaysia berkoperasi kerana koperasi menjamin kestabilan ekonomi dan sosial masyarakat serta kesejahteraan rakyat.

Pada majlis tersebut , anugerah koperasi sekolah terbaik dinobatkan kepada  Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan  Tengku Lela Segara; anugerah koperasi terbaik – kategori  pemborongan dan peruncitan dimenangi  Koperasi Peneroka Felda Kerteh Satu Ketengah Jaya Berhad; anugerah koperasi terbaik bagi kategori perladangan pula dinobatkan kepada Koperasi Pekebun Kecil Daerah Kemaman Berhad.

Bagi anugerah koperasi terbaik kategori perkhidmatan dan pengangkutan pula  dimenangi  Koperasi  Ladang Sungai Tong Terengganu Berhad. Manakala bagi anugerah koperasi terbaik kategori  pengguna pula dimenangi oleh Koperasi Pembangunan Daerah Setiu Berhad dan Tokoh Koperasi Negeri pula dimenangi  Datuk Hashim Mamat dari Koperasi Keluarga Datuk Hashim Mamat Kuala Terengganu Berhad.  Kesemua penerima membawa pulang sijil, plak dan juga hadiah wang tunai RM5,000.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Semua koperasi disaran mengamalkan tadbir urus yang baik berlandaskan prinsip bona fide atau jujur bagi memastikan mereka terus berdaya saing dan kekal kompetitif dalam menjana keuntungan setiap tahun.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.