DUNGUN - Bagi menyemarakkan bulan kemerdekaan, seramai 100 peserta Merdeka Fun Ride berkayuh sejauh kira-kira 30 kilometer dalam acara khas yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Lebih menarik acara berbasikal itu turut dijayakan Pegawai Daerah Dungun, Ibrahim Mohamad; Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob; CEO Rumbia Resort, Jasmine Oii Abdullah; Pengarah Urusan CJ Bio Malaysia, Kim ill Hwan; Pegawai Penyelaras Dun Paka, Tengku Hamzah Tengku Draman dan ramai lagi.

Program berkenaan adalah hasil kolaborasi anjuran Pejabat Daerah Dungun di bawah perancangan Penghulu Mukim Paka, JKK Mukim Paka, Paka Veteran Cycling Team (PVCT) dengan kerjasama Rumbia Resort Villa Paka, Petronas regional office, Cj Bio Malaysia dan Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Ismail, Paka.

Perancang utama program, Penghulu Mukim Paka, Mohd Shukri Hashim berkata, manfaat berganda disasarkan diperoleh menerusi konsep Fun Ride dan kesukanan itu.

Menurutnya, bukan sekadar memupuk semangat patriotisme tetapi program itu turut bermatlamat melahirkan komuniti sihat.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan penyertaan adalah daripada semua peringkat umur.

“Ada remaja hinggalah warga emas yang turut bersemangat untuk berkayuh sempena kemerdekaan dan mengibarkan Jalur Gemilang," katanya.

Mohd Shukri berkata, kayuhan dibahagikan kepada dua kategori iaitu bagi VIP kayuhan dilakukan dalam jarak kira-kira enam kilometer, manakala peserta lain berjaya menyahut cabaran berbasikal sejauh 30 kilometer.

“Kayuhan juga dilakukan secara santai dan memberi peluang kepada peserta untuk menikmati keunikan serta pemandangan menarik di sekitar kawasan ini.

“Program ini mengajak orang ramai mengamalkan budaya hidup sihat dan bersukan,” katanya.

Beliau berkata, Merdeka Fun Ride bertepatan dengan slogan 1Malaysia apabila disertai peserta dari pelbagai latar belakang dan budaya.

“Bukan sahaja bangsa Melayu dan Cina tetapi kita ada peserta Korea. Secara tidak langsung mempromosikan keunikan dan kepelbagaian budaya di negara kita kepada masyarakat luar.

“Program ini bukan sahaja diadakan sempena bulan kemerdekaan tetapi turut mempromosikan Sukan Sea 2017 yang diadakan di negara kita.

“Kita berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini dan acara sebegini harus diperluas supaya semangat cintakan negara semakin utuh,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JENGKA - “Saya mahu jadi orang pertama kibar Jalur Gemilang kerana saya sayangkan Malaysia!” kata Peneroka Felda Jengka 2, Musa Ali, 67.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.