KUALA TERENGGANU - Ibu mangsa buli di sebuah kolej vokasional di sini, kesal dengan kejadian menimpa anaknya dan tidak teragak-agak untuk membawa kes itu ke mahkamah sekiranya laporan perubatan mendapati anaknya mengalami kecederaan dalaman yang serius.

Ibu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Sofia, 43, berkata, kejadian anaknya dipukul hampir 20 pelajar senior itu benar-benar meninggalkan kesan mendalam buatnya kerana anaknya sebelum ini tidak mempunyai sebarang masalah dengan sesiapa dan aktif dalam aktiviti sukan.

“Saya menerima panggilan jam 9 pagi oleh pihak sekolah semalam meminta saya datang untuk melihat keadaan anak. Sebaik tiba di sekolah, saya tidak dapat menahan perasan terkejut dan pengsan setelah melihat keadaan dia yang amat lemah.

“Petang kelmarin (Isnin) baru saya bawa anak pergi boling, belikan anak makanan untuk bekal di asrama bersama kawan-kawan satu bilik, tak sangka pula malam tu mereka hampir satu bilik tu pukul anak saya tanpa henti hampir dua jam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, alasan yang diberikan pelajar senior bahawa anaknya yang berusia 16 tahun itu tidak mengikut arahan dan dianggap sombong tidak masuk akal untuk mereka bertindak sedemikian rupa.

“Bayangkan, anak saya dipukul tanpa henti selama hampir dua jam bermula jam 1.30 hingga 3.30 pagi. Begitu juga dengan rakannya yang menyedari dia dipukul. Hampir 20 yang memukul dan 13 hingga 15 pelajar yang dikenali oleh anak saya sendiri. Ada yang sebaya, ada yang senior.

“Anak saya dibungkus kepala dengan selimut sebelum dibelasah beramai-ramai walaupun dia merayu agar berhenti. Kecederaan dialami hampir satu badan termasuk dipukul di bahagian perut yang mempunyai kesan parut pembedahan apendiks,” katanya.

Katanya lagi, sebelum ini, anaknya ada memberitahu terdapat dalam kalangan pelajar yang tidak puas hati dengan dia.

“Memang sebelum ni dia ada cakap ada orang tak puas hati kat adik, tapi saya sering menasihati dia supaya tidak melayan sesiapa yang ingin mengajak bergaduh,” katanya.

Dalam kejadian berlaku awal pagi kelmarin, dua pelajar berusia 16 tahun cedera di bahagian belakang badan dan kaki selepas dipercayai dibelasah hampir 20 pelajar senior ketika sedang tidur dalam bilik asrama.

Mangsa dikejarkan ke hospital selepas ibu bapa keduanya membuat laporan polis jam 3.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian.  

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Polis sudah membebaskan 26 pelajar yang di reman sebelum ini, yang dipercayai terlibat dalam kejadian buli membabitkan tiga mangsa di sebuah kolej vokasional di Kuala Nerus, minggu lepas.
  • SEREMBAN - Seorang bapa merayu pihak berkaitan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh anaknya yang didakwa kerap dibuli oleh guru sekolahnya.